KUALA LUMPUR: Jumlah jemaah haji dari Malaysia yang dibenarkan mengerjakan rukun Islam kelima itu di Tanah Suci pada tahun ini ialah seramai 14,306 jemaah.

Mengumumkan perkara itu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, jumlah yang dibenarkan tahun ini merupakan 45 peratus daripada kuota tahunan iaitu sebanyak 31,600.

Menurutnya, peratusan itu adalah sama bagi semua negara di luar Arab Saudi.

"Saya dengan sukacita ingin mengumumkan bahawa kuota yang diterima daripada kerajaan Arab Saudi adalah sebanyak 14,306 orang atau 45 peratus daripada kuota tahun yang biasa diterima sebelum ini iaitu 31,600 orang," katanya dalam sidang media pada Khamis.

Kuota haji rakyat Malaysia tahun ini 14,306

Idris memberitahu, selain berusia bawah 65 tahun dan tiada penyakit kronik, kerajaan Arab Saudi mensyaratkan bakal jemaah untuk mengemukakan keputusan negatif ujian calitan Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) dalam tempoh 72 jam sebelum berlepas, melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 dan mempunyai sijl vaksin COVID-19.

Katanya, pada musim haji tahun ini, kerajaan Arab Saudi hanya membenarkan kuota seramai satu juta jemaah iaitu hanya 40 peratus jemaah berbanding 2.5 juta orang pada tahun 2019.

Justeru beliau menzahirkan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi dengan jumlah kuota yang diberikan kepada jemaah Haji di Malaysia.

Beliau memberitahu, penetapan itu adalah selepas penilaian dan sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan kesihatan jemaah di seluruh negara.

"Ini adalah berita baik buat umat Islam di Malaysia yang telah menunggu dua tahun akibat COVID-19, bersempena dengan bulan Ramadan ang mulia ini, marilah sama-sama kita melafazkan rasa syukur yang tidak terhingga atas berita gembira ini," tambahnya.

TH akan keluarkan surat tawaran kepada bakal haji dalam masa terdekat

Sementara itu, Idris memaklumkan Tabung Haji (TH) akan mengeluarkan surat tawaran kepada bakal jemaah haji dalam masa terdekat.

"Bakal jemaah yang terpilih diminta untuk membuat pemeriksaan kesihatan dan menjawab suarat tawaran dengan kadar segera. Bakal jemaah juga diminta untuk bersedia dengan dokumen-dokumen berkaitan," jelasnya.