KUALA LUMPUR: Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU) menyedari keperluan untuk mengawal pembiayaan litigasi pihak ketiga kerana kurangnya ketelusan pengaturan pembiayaan, potensi konflik kepentingan dan kesan kepada kos dan termpoh prosiding timbang tara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kedua-dua pihak dalam satu siri mesyuarat dua hala baru-baru ini mencapai kata sepakat bahawa agenda ini memerlukan perhatian yang lebih serius dan langkah yang diselaraskan oleh pemimpin global di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata ini seharusnya melibatkan forum yang merangkumi negara dari rantau seperti Amerika Syarikat, EU dan ASEAN untuk menangani dan memerangi penyalahgunaan proses perundangan ini secara berkesan.

"Hari ini, kekurangan rangka kerja kawalan yang diselaraskan kepada pembiayaan pihak ketiga memberikan ancaman ketara global, memberi kesan kepada pelbagai negara merentasi segala sektor, termasuk EU yang tidak terkecuali daripada kesan yang menjejaskan itu.

Fenomena ini telah meresap ke dalam rantau ini yang secara tidak sengaja menjejaskan integriti proses timbang tara dan keputusannya," kata beliau dalam hantaran di Facebook pada Selasa.

Siri pertemuan dan perbincangan dua hala itu disertai wakil daripada Jabatan Peguam Negara, Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri dan Wisma Putra selain daripada tokoh terkemuka dari Suruhanjaya Eropah, Parlimen Eropah dan Perkhidmatan Tindakan Luaran Eropah.

Azalina berkata, walaupun timbang tara dihormati sebagai satu bentuk penyelesaian pertikaian alternatif, eksploitasi sistem ini menerusi kaedah yang tidak beretika, termasuk cubaan untuk menyita aset kedaulatan asing, tidak dapat diterima.

"Terdapat keperluan mendesak untuk tindakan global bersepadu bagi memerangi pembiayaan litigasi pihak ketiga semata-mata bagi tujuan mencari keuntungan, yang menjatuhkan usaha menegakkan keadilan.

"Langkah membina semestinya diambil untuk menangani penyangak dalam kalangan penimbang tara yang mencemar keyakinan global terhadap keseluruhan sistem timbang tara," katanya.

Azalina berkata, semasa mesyuarat itu beliau mengambil peluang untuk berkongsi pengalaman Malaysia dalam mengendalikan kes Kumpulan Sulu kerana ia menjalani proses litigasi yang aktif di empat negara anggota EU.

"Setakat ini keputusan penting yang memihak kepada Malaysia menunjukkan komitmen komuniti perundangan antarabangsa untuk mendukung kedaulatan undang-undang dan mempertahankan daripada sebarang penyalahgunaan sistem keadilan sivil," katanya.

Beliau juga menzahirkan minat Malaysia untuk memahami dengan lebih terperinci resolusi Parlimen Eropah yang mencadangkan satu arahan kepada pengawalan pembiayaan litigasi pihak ketiga, sebuah rangka kerja yang diperjuangkan sepenuhnya oleh Malaysia berikutan keputusan kes Kumpulan Sulu.

"Kerajaan Malaysia secara proaktif menggesa supaya satu debat mengenai pengawalan pembiayaan litigasi pihak ketiga berbanding keperluan untuk lebih ketelusan, kebertanggungjawapan dan professionalisme beretika dalam kalangan pembiaya," katanya. - BERNAMA