Skip to main content

Malaysia

Malaysia gantung perolehan pertahanan baharu dari Norway

 JOHOR BAHRU, 7 Julai -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil meninjau kemudahan di Pusat Media Pilihan Raya dan Pusat Operasi Bernama sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 bagi memastikan operasi liputan berita berjalan lancar serta capaian Internet berkelajuan tinggi berfungsi dengan baik untuk para pengamal media    —fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Datuk Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Jemaah Menteri yang turut meneliti perkembangan terkini berhubung tindakan kerajaan Norway membatalkan lesen eksport peluru berpandu berkenaan. - Gambar/ Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia memutuskan untuk menghentikan serta-merta sebarang perolehan peralatan atau kelengkapan pertahanan baharu dari Norway susulan tindakan negara itu membatalkan lesen eksport sistem peluru berpandu yang diperuntukkan bagi kapal tempur pesisir (Littoral Combat Ship, LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Jemaah Menteri yang turut meneliti perkembangan terkini berhubung tindakan kerajaan Norway membatalkan lesen eksport peluru berpandu berkenaan.

“Jemaah Menteri telah memutuskan supaya Kementerian Pertahanan menghentikan serta-merta sebarang perolehan peralatan atau kelengkapan pertahanan baharu dari Norway,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Keputusan itu dibuat susulan pembatalan lesen eksport sistem Naval Strike Missile (NSM) yang sebelum ini dirancang untuk dilengkapkan pada kapal LCS negara.

Bagaimanapun, kerajaan memberi jaminan tindakan Norway itu tidak akan menjejaskan jadual penyerahan kapal tempur pesisir yang sedang dibangunkan untuk TLDM.

Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, jadual penyerahan kapal berkenaan kekal seperti dirancang dan dijamin oleh Lumut Naval Shipyard (LUNAS).

Menurut jawapan bertulis beliau di Dewan Rakyat bertarikh 7 Julai, projek LCS masih diteruskan dengan kapal berkenaan memiliki pelbagai keupayaan tempur termasuk peperangan antikapal selam, peperangan antiudara dan peperangan elektronik.

“Kapal LCS masih memiliki pelbagai keupayaan seperti peperangan antikapal selam, peperangan antiudara dan peperangan elektronik selain dilengkapi Sistem Pengurusan Tempur (Combat Management System, CMS) yang mengintegrasikan semua keupayaan tersebut dengan sistem radar dan sensor kapal,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Pertahanan melalui TLDM juga sedang mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan keupayaan peluru berpandu permukaan-ke-permukaan pada kapal berkenaan dapat dipulihkan menerusi penyelesaian yang bersesuaian.

Dewan Rakyat turut dimaklumkan bahawa sehingga 31 Mei lalu, Kementerian Pertahanan telah membelanjakan RM8.45 bilion bagi projek LCS, bersamaan 76.2 peratus daripada keseluruhan nilai projek.

Setakat tempoh sama, kemajuan fizikal projek direkodkan pada kadar 78.1 peratus berbanding sasaran asal sebanyak 85.21 peratus.

Must Watch Video

Advertisement