MALAYSIA
Malaysia gesa PBB perkukuh kerjasama dengan badan serantau dalam usaha pengantaraan

Mohamad berucap pada Mesyuarat Peringkat Menteri Kumpulan Sahabat Pengantaraan PBB sempena Sesi ke-80 UNGA di New York, 25 Sept 2025. --fotoBERNAMA
NEW YORK: Malaysia menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memperkukuh kerjasama dengan organisasi serantau dalam usaha pengantaraan, sambil menegaskan bahawa kerjasama sedemikian amat penting bagi menangani konflik berterusan dan memajukan keamanan yang mampan.
Ringkasan AI
- Malaysia menggesa PBB memperkukuh kerjasama dengan organisasi serantau seperti ASEAN dan Kesatuan Afrika bagi meningkatkan keberkesanan pengantaraan dan memajukan keamanan mampan.
- Pengantaraan perlu dirancang secara tersusun dan berterusan, termasuk pembiayaan jangka panjang, perkongsian sumber, dan peminjaman teknikal, bukan bergantung kepada inisiatif ad hoc atau kehendak politik semata-mata.
- Malaysia menekankan komitmen kepada dialog, pencegahan dan keamanan, sambil menegaskan kepentingan sokongan serantau dalam menangani konflik di Gaza, Ukraine, Sudan dan Myanmar.
"Penyelarasan yang lebih baik akan membawa hasil yang lebih baik. Ini boleh dicapai dengan membangunkan rangka kerja lebih tersusun untuk penugasan bersama PBB-serantau dalam pengantaraan, selain membolehkan perkongsian sumber serta peminjaman teknikal," katanya.
Mohamad berkata demikian pada Mesyuarat Peringkat Menteri Kumpulan Sahabat Pengantaraan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang diadakan sempena Sesi ke-80 Perhimpunan Agung PBB (UNGA) di sini pada Khamis.
Beliau turut menegaskan kepentingan usaha pengantaraan diberi keutamaan sebagai agenda teras keamanan dan keselamatan.
"Negara anggota seharusnya mempertimbangkan pembiayaan jangka panjang yang boleh diramal untuk aktiviti pengantaraan, dan beralih daripada amalan semasa yang bergantung kepada sumber berpecah-belah," katanya.
Namun beliau mengakui keupayaan UNGA menyelesaikan konflik sering terhad akibat penyalahgunaan kuasa veto dalam Majlis Keselamatan.
"Semua ini berlaku ketika sistem antarabangsa berasaskan peraturan semakin rapuh akibat tekanan perubahan iklim, gangguan teknologi, ketakjaminan makanan, serta penyebaran retorik berpecah belah dalam talian.
"Namun, seiring dengan evolusi kelemahan kita, begitu juga kekuatan kita.
"Masa depan pengantaraan akan semakin dibentuk oleh kemunculan aktor baharu serta pertumbuhan teknologi moden," katanya.
Menteri Luar itu turut mengulangi komitmen Malaysia untuk memajukan budaya global berteraskan dialog, pencegahan dan keamanan, dengan menekankan bahawa mesyuarat itu berlangsung pada saat kritikal ketika orang awam terus menanggung derita akibat konflik yang tidak selesai di Gaza, Ukraine, Sudan dan Myanmar.
"Di Timur Tengah, bukan sahaja pembunuhan berterusan, malah pengantaraan itu sendiri turut diserang.
"Serangan Israel terhadap Qatar adalah sesuatu yang tidak boleh diterima dan amat menjejaskan segala usaha membina keamanan di rantau itu.
"Ketika kita melihat ke hadapan untuk 80 tahun akan datang dan seterusnya, marilah kita memperbaharui komitmen membina sistem yang lebih menyokong kerjasama serantau serta mempercayai mereka sebagai pakar dalam usaha keamanan di tanah air masing-masing," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami