KUALA LUMPUR: Malaysia menggesa tindakan global yang lebih kukuh bagi mempercepat pelaksanaan Agenda Perbandaran Baharu (NUA) dengan menekankan keperluan untuk menterjemahkan komitmen kepada hasil yang nyata dalam membina bandar inklusif, berdaya tahan dan mampan menjelang 2030.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata Semakan Pertengahan Penggal NUA tahun ini memberikan peluang penting kepada negara anggota untuk melangkah melebihi penilaian kemajuan dan menumpukan kepada penyampaian hasil yang bermakna kepada berbilion penduduk yang tinggal di kawasan bandar.
“Semakan pertengahan penggal tidak bermakna jika ia sekadar mendokumentasikan kelemahan kita. Ia mesti menjadi titik perubahan. Kita hanya berbaki empat tahun lagi sebelum 2030,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan penyertaan beliau pada Mesyuarat Peringkat Tinggi Semakan Pertengahan Penggal NUA di Ibu Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York.
Selaku Presiden Perhimpunan Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat), Nga menggesa negara anggota memperkukuh usaha menangani cabaran utama bandar termasuk krisis perumahan global, jurang digital bandar dan daya tahan iklim, di samping memastikan tiada komuniti terpinggir dalam mengejar pembangunan bandar yang mampan.
Nga turut menegaskan semula komitmen Malaysia untuk menyediakan kepimpinan yang praktikal, inklusif dan boleh diperluas dalam memajukan perbandaran mampan pada peringkat global di bawah kerangka Ekonomi MADANI.
Beliau juga mengetengahkan peranan Malaysia dalam memperjuangkan Asia-Pacific Urban Action Platform (AP-UAP) bersama-sama rakan kongsi serantau, menyifatkannya sebagai mekanisme penting untuk menyetempatkan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), memudahkan perkongsian pengetahuan rentas sempadan dan memperkukuh pembiayaan infrastruktur hijau di seluruh rantau Asia-Pasifik.
Nga berkata pengalaman rantau itu menunjukkan transformasi perbandaran yang bermakna boleh dicapai melalui komitmen politik yang kukuh, penyelesaian yang dipacu pada peringkat tempatan dan kerjasama erat antara kerajaan, rakan pembangunan serta pihak berkepentingan tempatan.
“Negara anggota mesti bertekad untuk melabur lebih banyak dalam infrastruktur yang berdaya tahan terhadap iklim. Sebagai contoh, Malaysia telah mencapai lebih 500 juta kaki persegi bangunan berindeks hijau dan lebih banyak akan dibina sebelum 2030,” katanya.
Nga turut menggesa negara anggota untuk meninggalkan Mesyuarat Peringkat Tinggi itu dengan keazaman baharu untuk membina bandar yang inklusif, saksama dan mampan bagi generasi masa kini dan akan datang.
“Marilah kita meninggalkan mesyuarat peringkat tinggi ini dengan sesuatu yang lebih daripada sekadar pengisytiharan baharu demi membina bandar yang tidak meminggirkan sesiapa dan mana-mana tempat sekalipun,” katanya.
Nga juga merakamkan penghargaan kepada Presiden Sesi ke-80 Perhimpunan Agung PBB Annalena Baerbock, Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres, Pengarah Eksekutif UN-Habitat Anaclaudia Rossbach serta kerajaan tempatan dan wilayah, organisasi masyarakat sivil dan komuniti akar umbi atas sumbangan mereka memajukan NUA.
Mesyuarat Peringkat Tinggi selama dua hari bertemakan Delivering Sustainable Urbanisation for All: Accelerating and Scaling Implementation of the New Urban Agenda to 2036 Together menghimpunkan negara anggota PBB, pegawai kanan, pemimpin kerajaan tempatan dan wilayah serta wakil masyarakat sivil untuk menilai kemajuan dan memperkukuh usaha ke arah pembangunan perbandaran yang mampan.
-- BERNAMA