PUTRAJAYA : Malaysia ketika ini mengenakan larangan kemasukan pelancong dari lapan negara yang telah disenaraikan mempunyai kes daripada varian COVID-19, Omicron.

"Senarai ini akan kita kemas kini setiap hari berdasarkan kepada penilaian yang akan dibuat oleh KKM. Sekarang ini mungkin ada soalan kenapa hanya negara yang diumumkan, sedangkan Omicron sudah dikesan di negara-negara yang lain.

"Di sini, penilaian KKM mengambil kira sama ada kewujudan Omicron itu adalah dari kes import ataupun daripada kes komuniti," kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Jelas beliau, KKM menyenaraikan Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe dan Malawi dalam senarai sekatan perjalanan sementara.

“Varian ini boleh merebak jauh lebih cepat daripada varian sebelumnya. Ia telahpun menunjukkan kebarangkalian yang tinggi bahawa ia lebih mudah dijangkiti," katanya.

Selain itu, kata Khairy, 20 negara sudah melaporkan pengesanan varian Omicron setakat semalam dan 203 daripada 215 kes varian itu telah dilaporkan dalam laman web Global Initiative on Sharing All Influenza Data (GISAID).

Kementerian Kesihatan juga telah memutuskan untuk mengenakan sekatan perjalanan sementara ke atas bukan warganegara yang memasuki Malaysia dari negara yang dianggap berisiko tinggi penyebaran Omicron atau mereka yang pernah ke negara yang sama 14 hari sebelumnya.

Sekatan itu juga katanya akan dikenakan kepada pekerja asing serta pelajar antarabangsa dari negara terbabit.

Negara yang sah dijangkiti Omicron ketika ini ialah Afrika Selatan, Botswana, Eswathini, Lesotho, Mozambique, Namibia, Zimbabwe dan Malawi.

Selain itu turut dikenal pasti adalah  Belanda, Portugal, United Kingdom, Australia, Hong Kong SAR, Itali, Brazil, Kanada, Denmark, Sepanyol, Perancis, Israel, Austria, Belgium, Republik Czech, Jerman, Sweden dan Jepun.

Tiada kes varian itu dilaporkan di Malaysia setakat ini.