JAKARTA: Malaysia akan mengatur strategi dalam merangka misi bersama Indonesia ke Kesatuan Eropah (EU) untuk mengetahui dan memberi maklumbalas terhadap perkembangan dasar semasa blok itu terhadap minyak sawit, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata misi itu juga akan mengemukakan fakta saintifik, kepentingan ekonomi dalam konteks sosial dan amalan perladangan yang diterap di kedua-dua negara.

"Kita akan bawa bersama wakil-wakil pekebun kecil untuk menyuarkan pandangan," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat dua hala bersama Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, Airlangga Hartarto di sini.

Malaysia telah mengambil alih jawatan sebagai pengerusi Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) pada 2023 dari Indonesia.

Fadillah berkata Malaysia dan Indonesia juga sepakat untuk terus komited menjaga alam sekitar termasuk penebangan hutan secara 'sustainable' (mampan) untuk membuka ladang dalam membangunkan ekonomi.

"Kita sentiasa berusaha mematuhi peraturan terhadap industri sawit, tetapi peraturan tersebut perlu adil dan saksama serta memahami keadaan di kedua-dua negara yang berusaha membantu pekebun kecil keluar dari garis kemiskinan," katanya.

Mengenai pekebun kecil yang merupakan tulang belakang industri sawit, beliau berkata CPOPC perlu membantu mereka mematuhi peraturan perladangan dan meningkatkan yield tanaman dengan sokongan kerajaan dan agensi serta sektor korporat.

Kawasan penanaman pekebun kecil membentuk kira-kira 27 peratus daripada kawasan penanaman di Malaysia, dan kira-kira 40 peratus di Indonesia, katanya.

Fadillah berkata CPOPC juga akan berhubung agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu supaya standard pensijilan minyak sawit MSPO (Malaysian Sustainable Palm Oil) dan ISPO (Indonesia Sustainable Palm Oil) diiktiraf bukan sahaja EU tetapi global.

MSPO yang diperkenalkan pada 2013 telah dikaji oleh kedua-dua pihak berkepentingan tempatan dan antarabangsa melalui perundingan awam dan semakan semula piawaian skim pensijilan itu yang dilancarkan pada 2022.

ISPO ialah skim pensijilan kemampanan nasional Indonesia untuk minyak sawit dan diperkenalkan pada 2011.

-- BERNAMA