Skip to main content

Malaysia

Malaysia, Indonesia teroka peluang baharu perkukuh kerjasama kesihatan

Dzulkefly Ahmad -- FB Dr Dzulkefly Ahmad
Dzulkefly semasa pertemuan dua hala bersama delegasi Republik Indonesia di luar Mesyuarat Menteri Kesihatan ASEAN (AHMM) ke-17 hari ini. - Gambar Facebook Dr Dzulkefly Ahmad
Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Indonesia berhasrat memperkukuh kerjasama dalam bidang baharu seperti kesihatan digital, perubatan tradisional dan komplementari (PT&K), penuaan sihat, serta kesihatan persekitaran bagi mendepani cabaran ancaman zoonotik dan denggi.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata perkara itu antara yang dibincangkan dalam pertemuan dua hala bersama delegasi Republik Indonesia di luar Mesyuarat Menteri Kesihatan ASEAN (AHMM) ke-17 hari ini. 

Beliau berkata pertemuan itu turut menyentuh usaha memperluas pelaksanaan Memorandum Persefahaman (MoU) kesihatan yang dimeterai di Jakarta pada 29 Julai 2025.

“Hal ini termasuk menzahirkan penghargaan atas kepercayaan berterusan menjadikan Malaysia destinasi pelancongan kesihatan utama, yang merekodkan penjanaan hasil melebihi RM2.2 bilion menerusi 968,706 lawatan pada tahun 2025,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Dzulkefly berkata pertemuan itu bertujuan membincangkan pelbagai aspek kerjasama strategik kesihatan antara kedua-dua negara serumpun.

“Kerajaan MADANI akan terus mengambil langkah strategik dan proaktif bagi memperkukuh daya tahan sistem kesihatan negara, termasuk melalui kerjasama dua hala serantau yang mampu menjamin kelestarian, kesinambungan dan kualiti perkhidmatan kesihatan awam demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

AHMM ke-17 berlangsung di Kuala Lumpur dari 7 hingga 11 Sept diterajui oleh Malaysia selaku pengerusi, manakala Myanmar sebagai naib pengerusi, bertemakan “Healthy ASEAN: Together Towards Equitable, Future-Ready Health Systems”.

-- BERNAMA 

 

Must Watch Video

Advertisement