Skip to main content

Malaysia

Malaysia, IOE perkukuh kerjasama strategik demi pasaran buruh inklusif

SUBANG, 2 April -- Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berucap merasmikan Program Bicara Dan Perkongsian Menelusuri Hari Pekerja: Pekerja Kesuma Bangsa, hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Ramanan berkata, Malaysia akan terus memperluas kerjasama antarabangsa bagi memastikan pembangunan pasaran buruh negara kekal inklusif dan berdaya saing demi manfaat pekerja, majikan serta negara. - Gambar fail Bernama

KUALA LUMPUR: Malaysia akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan Pertubuhan Majikan Antarabangsa (IOE) bagi membangunkan ekosistem pasaran buruh yang lebih inklusif, mampan dan berdaya saing.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, kerjasama itu penting dalam memperkukuh keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi, perlindungan pekerja dan kepentingan majikan bagi mendepani cabaran dunia pekerjaan global yang semakin kompleks.

Beliau berkata, perkara itu dibincangkan dalam sesi bersama dengan kepimpinan IOE yang diketuai Setiausaha Agung, Roberto Suárez Santos; Naib Presiden, Matthias Thorns dan Pengarah Dasar pertubuhan berkenaan iaitu Akustina Morni serta wakil organisasi majikan Malaysia daripada Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) diterajui Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman.

Malaysia turut berkongsi perkembangan dasar dan inisiatif utama termasuk reformasi undang-undang perburuhan, Akta Pekerja Gig 2025, Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2026-2030 dan pelaksanaan Skim LINDUNG 24 JAM yang berkuat kuasa 1 Jun 2026.

“Komitmen Kerajaan MADANI untuk melaksanakan dasar dan polisi yang inklusif, progresif serta seimbang turut ditegaskan.

“Pendekatan ini bukan sahaja memperkukuh perlindungan pekerja malah mengambil kira keperluan dan daya saing majikan bagi memastikan ekosistem pasaran buruh negara terus kondusif, berdaya tahan serta mampu menarik pelaburan berkualiti,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Ramanan berkata, IOE menyambut baik usaha Malaysia memperkukuh standard perburuhan negara selaras dengan perkembangan semasa dunia pekerjaan dan amalan antarabangsa.

IOE turut menyatakan hasrat untuk memperkukuh kerjasama dengan Malaysia khususnya dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH), pembangunan kemahiran termasuk kecerdasan buatan (AI) selain agenda transformasi digital serta hijau.

Beliau berkata, Malaysia akan terus memperluas kerjasama antarabangsa bagi memastikan pembangunan pasaran buruh negara kekal inklusif dan berdaya saing demi manfaat pekerja, majikan serta negara.

Delegasi Malaysia disertai Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Dr Mohd Shaharin Umar; Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed; Setiausaha Politik, Aizuddin Abd Gaffal, Penasihat Undang-Undang KESUMA, Shamsurryaty Samsuddin dan Timbalan Setiausaha Bahagian Dasar Perburuhan, Grace Dairiam.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement