Malaysia dijangka memperoleh satu daripada dua kapal misi pesisir (LMS) yang dibina di China, pada Oktober 2019, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Hishammuddin berkata dua kapal LMS yang dibina oleh China Shipbuilding Offshore International Co. Ltd (CSOC) dan Boustead Naval Shipyard berada di landasan yang betul serta mengikut jadual yang ditetapkan.

"Saya ingin memaklumkan bahawa saya cukup berpuas hati dengan laporan perkembangan perolehan dua kapal LMS. Insya-Allah kita akan memperoleh LMS pertama daripada dua LMS ini pada Oktober 2019.

Dua LMS lagi akan dibina di Malaysia selepas itu. Ini memperlihatkan kerjasama erat yang terjalin di antara kedua-dua negara (Malaysia-China) yang akan terus diperkukuh meliputi pelbagai aspek kerjasama termasuk keselamatan, pelaburan, perdagangan, pendidikan dan pelancongan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Hishammuddin yang kini dalam rangka lawatan kerja ke China selama tiga hari bermula semalam.

Pada 2 Nov tahun lepas, Hishammuddin berkata empat buah kapal LMS yang dibeli dari China sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke negara itu akan dibina secara bersama.

Dalam rangka lawatan kerja itu, Hishammuddin berkata beliau mengadakan mesyuarat dengan Setiausaha Politik dan Hal Ehwal Undang-undang Pusat Parti Komunis China, Meng Jianzhu dan Kaunselor Negara China, Yang Jiechi serta Menteri Pertahanan China Jeneral Chang Wanquan.

Beliau yang juga Menteri Tugas-Tugas Khas berkata antara perkara dibincangkan adalah isu-isu keselamatan semasa khususnya gerakan militan Daesh serta kerjasama ketenteraan antara Malaysia dan China.

Berhubung ancaman Daesh, Hishammuddin menjelaskan, kedua-dua negara memantau rapat usaha terbaru kumpulan tersebut untuk bertapak sekali gus mengukuhkan pengaruh di Asia Tenggara, terutama selepas mereka menghadapi tentangan sengit di Syria dan Iraq.

"Insiden di Marawi, Selatan Filipina membuktikan bahawa Daesh sememangnya berhasrat mewujudkan wilayah pemerintahan di Asia Tenggara. Lebih membimbangkan apabila terdapat pengganas yang mempunyai kaitan rapat dengan Daesh dari beberapa negara turut berperang menentang tentera Filipina di Marawi.

"Sekiranya Daesh berjaya bertapak di rantau Asia Tenggara, ia akan mengancam keselamatan dan kestabilan bukan sahaja negara-negara di rantau tersebut, tetapi akan merebak terutamanya ke negara-negara berhampiran termasuk China," katanya.

Hishammuddin juga berkata beliau yakin hubungan erat yang sedia terjalin antara Malaysia dan China sejak sekian lama akan terus diperkukuh dari semasa ke semasa yang ternyata membawa pelbagai manfaat kepada kedua-dua negara.

"Saya konsisten menyatakan bahawa tidak ada satu negara di dunia ini yang mampu bertindak bersendirian untuk berhadapan dengan ancaman keselamatan hari ini yang semakin kompleks," katanya.

-- BERNAMA