KUALA LUMPUR: Kerjasama Malaysia dan Jepun dalam bidang pendidikan tinggi memasuki fasa baharu apabila kedua-dua negara melancarkan inisiatif pembangunan modal insan Palestin menerusi program biasiswa pascasiswazah yang bakal memberi peluang kepada pelajar negara itu melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Inisiatif itu dimeterai menerusi perjanjian antara Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) dan UTM melalui Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT) sempena program 'Malaysia–Japan Strategic Partnership: Engineering a Resilient Palestine – A Joint Initiative for Sustainable Infrastructure, Capacity Building, and Humanitarian Resilience' yang diadakan di UTM Kuala Lumpur, hari ini.
UTM menerusi kenyataan medianya hari ini berkata, program berkenaan menghimpunkan wakil Malaysia, Jepun dan Palestin bersama diplomat, rakan pembangunan, kepimpinan universiti, ahli akademik serta pelajar bagi memperkukuh kerjasama dalam menyokong pembangunan Palestin menerusi pendidikan tinggi, penyelidikan dan pembangunan modal insan.
Menerusi perjanjian itu, program biasiswa dijadual dilaksanakan selama enam tahun bermula Oktober depan hingga April 2032 dan dijangka memberi manfaat kepada antara 15 hingga 20 pelajar Palestin dalam beberapa kohort.
Di bawah inisiatif berkenaan, JICA akan menyediakan pembiayaan biasiswa, manakala UTM dan MJIIT bertanggungjawab menyediakan pengajian pascasiswazah, penyeliaan penyelidikan, kemudahan makmal, bimbingan akademik serta sokongan institusi kepada para pelajar.
Sementara itu, Presiden JICA Akihiko Tanaka dalam ucapannya berkata, perjanjian itu bukan sekadar menawarkan biasiswa, malah merupakan pelaburan jangka panjang dalam melahirkan generasi baharu jurutera, penyelidik, profesional dan pemimpin yang akan memainkan peranan penting dalam usaha membangunkan semula Palestin.
Beliau berkata, konflik di Gaza telah menjejaskan sistem pendidikan tinggi apabila banyak universiti dan institusi pengajian mengalami kerosakan serta tidak lagi dapat beroperasi seperti biasa.
“Ketika Palestin bergerak ke arah pemulihan dan pembinaan semula, pembangunan modal insan adalah sama penting dengan pembinaan semula infrastruktur fizikal,” katanya.
Katanya lagi, inisiatif itu bertujuan melahirkan jurutera, saintis dan tenaga profesional yang memiliki pengetahuan serta kemahiran untuk membantu membina semula komuniti, institusi, kemudahan awam dan infrastruktur penting di Palestin.
Beliau berkata, program itu juga berlandaskan prinsip Keselamatan Insan (Human Security) yang memberi penekanan kepada usaha melindungi dan memperkasakan individu supaya mampu menjalani kehidupan dengan bermaruah walaupun berdepan cabaran.
Katanya, bagi pelajar Palestin yang terjejas akibat konflik, peluang melanjutkan pengajian bukan sahaja membuka ruang memperoleh pendidikan berkualiti, malah memberi harapan baharu dan meningkatkan keupayaan mereka untuk menyumbang kepada pembangunan negara pada masa depan.
“MJIIT yang ditubuhkan hasil kerjasama Malaysia dan Jepun terus menjadi platform utama dalam memperkukuh hubungan kedua-dua negara menerusi pendidikan kejuruteraan, penyelidikan, kerjasama industri dan pembangunan sumber manusia.
“Inisiatif itu juga menyokong komitmen Jepun terhadap pembangunan Palestin melalui Persidangan Kerjasama Negara-Negara Asia Timur bagi Pembangunan Palestin (CEAPAD), yang menghimpunkan negara rakan bagi memperkukuh pembangunan modal insan dan pembangunan mampan di Palestin,” katanya.
Selain majlis menandatangani perjanjian, program itu turut diisi dengan sesi dialog kepimpinan melibatkan pemimpin universiti, rakan pembangunan, ahli akademik dan wakil pelajar Palestin yang membincangkan peranan pendidikan tinggi, inovasi, kejuruteraan serta kepimpinan belia dalam menyokong pemulihan jangka panjang Palestin.