KUALA LUMPUR: Seramai 30 peserta tarian yang mewakili Malaysia menjuarai kesemua kategori yang disertai dalam Pertandingan Vienna Dance Open 2023 di Austria.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kesemua mereka menerima pengiktirafan pada Malam Citra Budaya yang berlangsung di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM) pada Ahad lepas (27 Ogos).

Sijil penghargaan disampaikan Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian KPM Zainuren Mohd Nor.

"Kejayaan yang diterima bukan sahaja membuktikan kehebatan murid dan koreografer yang terdiri daripada guru tetapi juga berjaya memperkenalkan kesenian budaya negara kita Malaysia ke mata dunia," menurut kenyataan itu.

Kesemua mereka memenangi kategori tarian rakyat kanak-kanak berkumpulan: Tarian Rakyat Patendu Patende (tempat pertama dan koreografi terbaik), tarian rakyat pasangan remaja: Tarian Zapin Bertingkah, tarian rakyat berkumpulan remaja: Tari Cekuh Dabus, tarian rakyat solo dewasa: Tarian Wayang Kulit Mek Siti Dewi; Tarian Sewang dan Tarian Borneo Susumangod Tondu serta persembahan terbaik keseluruhan.

Menurut kenyataan itu, tiga koreografer telah menyumbang idea dan tenaga dalam melatih peserta pertandingan bagi memastikan gerak tari dan muzik yang digunakan dapat menonjolkan identiti Malaysia ke persada dunia.

Sementara itu, 30 peserta tarian yang menyertai pertandingan tersebut adalah murid Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan 3, Bandar Baru Bangi, Selangor; Kolej Tunku Kurshiah (TKC) dan SM Sains Tuanku Munawir (SASER), Negeri Sembilan; Sekolah Tun Fatimah, Johor; SK Putrajaya Presint 8 (1), Putrajaya dan Pelajar Institusi Pengajian Tinggi daripada Management Science University, Universiti Kuala Lumpur Malaysia France Institute (UniKL MFI), Universiti Teknologi Malaysia dan Raffles College.

Kontinjen negara diketuai Guru Penolong Kanan Pentadbiran Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 4 Bandar Kinrara Siti Dewi Marsitah Ismail.

-- BERNAMA