MALAYSIA
Malaysia kecam penggunaan kebuluran sebagai senjata perang, desak tindakan antarabangsa ke atas Israel

Mohamad berkata Malaysia juga menyatakan sokongan penuh terhadap kes dibawa Afrika Selatan ke ICJ berhubung pencabulan Konvensyen Genosid 1948 oleh Israel. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan rejim Zionis Israel menggunakan kebuluran sebagai senjata peperangan terhadap rakyat Palestin di Gaza yang jelas bertentangan dengan Konvensyen Geneva 1949.
Ringkasan AI
- Malaysia kecam tindakan Israel menggunakan kebuluran sebagai senjata peperangan terhadap rakyat Palestin, yang melanggar Konvensyen Geneva 1949.
- Kerajaan terus mendesak tindakan antarabangsa melalui ICJ dan ICC serta menyokong kes Afrika Selatan terhadap Israel atas pencabulan Konvensyen Genosid 1948.
- Malaysia komited memperjuangkan hak Palestin, termasuk melalui ucapan di Perhimpunan Agung PBB dan desakan kepada Majlis Keselamatan PBB untuk tindakan konkrit.
"Malaysia berusaha keras dengan negara-negara sepemikiran untuk mengenakan akauntabiliti terhadap rejim Zionis Israel ke atas pencabulan undang-undang antarabangsa yang berterusan," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Hussin Ismail yang bertanyakan langkah terkini kerajaan bagi mendesak tindakan di peringkat antarabangsa termasuk ICJ dan ICC terhadap penggunaan kebuluran sebagai senjata peperangan yang disengajakan oleh rejim Zionis di Gaza.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata Malaysia juga menyatakan sokongan penuh terhadap kes dibawa Afrika Selatan ke ICJ berhubung pencabulan Konvensyen Genosid 1948 oleh Israel yang turut merangkumi tuduhan penggunaan kebuluran sebagai senjata.
Beliau berkata Malaysia juga menyambut baik langkah ICC mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Israel Yoav Gallant atas dakwaan jenayah perang di Gaza.
Bagaimanapun, beliau berkata kes di ICJ dan ICC masih belum memasuki fasa perbicaraan.
Pada masa sama, Mohamad berkata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan akan terus memperjuangkan hak rakyat Palestin dan mengecam kekejaman Israel pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-80 pada akhir bulan ini di New York, Amerika Syarikat.
"Malaysia akan mendesak masyarakat antarabangsa bekerjasama untuk membawa rejim Zionis Israel ke muka pengadilan. Malaysia juga akan terus menuntut tindakan konkrit diambil oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu," katanya.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami