KUALA LUMPUR: Malaysia kekal teguh dengan pendirian bahawa negara maju perlu segera memenuhi komitmen bagi menggerakkan usaha negara-negara membangun dalam melaksanakan tindakan mitigasi dan adaptasi perubahan iklim.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata selaras dengan dasar kemampanan di bawah Malaysia MADANI, Kerajaan Persekutuan bersama-sama kerajaan negeri dan pihak berkepentingan lain akan terus bekerjasama bagi menangani isu perubahan iklim secara holistik dan bersepadu.

"Ini merupakan antara inisiatif kerajaan bagi memastikan kelestarian alam sekitar demi kesejahteraan generasi mendatang," kata Perdana Menteri menerusi catatan di Facebook hari ini.

Menurut Anwar, beliau hari ini telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Perubahan Iklim Negara (MTPIN) Bil. 1 Tahun 2023 sebagai platform perbincangan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bagi menetapkan dasar, hala tuju dan perkara terkait perubahan iklim.

Beliau berkata mesyuarat memfokuskan mengenai beberapa perkara antaranya cadangan pengukuhan MTPIN sebagai platform tertinggi negara dalam menyelaras isu perubahan iklim.

"Mesyuarat juga telah bersetuju dengan cadangan penetapan dasar berkaitan pelaksanaan mekanisme pasaran karbon negara," kata Anwar.

Menurut Perdana Menteri, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim akan memastikan mekanisme pasaran karbon negara adalah memenuhi prinsip-prinsip di bawah Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC) dan mengambil kira kepentingan kerajaan negeri.

Anwar berkata beliau akan mengetuai delegasi negara ke World Climate Action Summit pada 1 hingga 2 Dis depan yang akan diadakan bersekali dengan Persidangan Negara Ahli ke-28 UNFCCC (COP28) di Dubai, Emiriah Arab Bersatu.

Katanya mesyuarat hari ini juga turut membincangkan cadangan pendirian negara bagi isu-isu utama yang akan dirundingkan oleh delegasi negara di persidangan tersebut.

-- BERNAMA