KUALA LUMPUR: Malaysia akan mengemukakan cadangan baharu berhubung projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura kepada republik berkenaan selepas memperoleh keputusan awal di peringkat kerajaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata cadangan baharu itu akan dibawa oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke untuk perhatian Singapura.

"Itu belum... baru peringkat kita, sebaik ada keputusan awal baharulah akan diangkat oleh menteri, Anthony Loke kepada perhatian Singapura," kata beliau kepada media selepas merasmikan Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia di sini hari ini.

Sebelum ini media melaporkan, kerajaan Singapura belum menerima sebarang cadangan baharu daripada Malaysia berhubung projek HSR Kuala Lumpur-Singapura.

Menurut Pemangku Menteri Pengangkutan Singapura Chee Hong Tat, negara itu sedia berbincang dengan Malaysia mengenai pelaksanaan semula projek berkenaan.

-- BERNAMA