Skip to main content

Malaysia

Malaysia ketengah peluang kerjasama dalam lima sektor strategik di Istanbul - Tengku Zafrul

Tengku Zafrul (foto) berkata sektor itu antara bidang yang berpotensi diterokai bagi memperkukuh kerjasama ekonomi antara Malaysia dengan negara lain. -Gambar fail/Bernama
Tengku Zafrul (foto) berkata sektor itu antara bidang yang berpotensi diterokai bagi memperkukuh kerjasama ekonomi antara Malaysia dengan negara lain. -Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia mengetengahkan peluang kerjasama dalam sektor semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), infrastruktur digital, tenaga bersih dan industri halal pada Sidang Kemuncak Pemimpin Perniagaan B57+ Tahun 2026 di Istanbul, Türkiye.

Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata sektor itu antara bidang yang berpotensi diterokai bagi memperkukuh kerjasama ekonomi antara Malaysia dengan negara lain.

Beliau berkata Malaysia turut menawarkan kedudukan strategiknya sebagai pintu masuk ke pasaran ASEAN kepada pelabur antarabangsa.

Advertisement

“Itulah antara mesej yang saya kongsikan sebagai ahli panel B57+ Business Leaders’ Summit 2026 di Istanbul, Türkiye dalam sesi membincangkan peranan dana kekayaan berdaulat untuk memperkukuh kerjasama ekonomi antara negara-negara membangun,” katanya dalam hantaran di platform X hari ini.

Tengku Zafrul turut menekankan prestasi pelaburan Malaysia, yang mencatatkan pelaburan diluluskan sebanyak RM431.1 bilion pada 2025 dan RM218.5 bilion pada separuh pertama 2026.

Advertisement

Lebih penting, katanya 87 peratus daripada 5,822 projek perkilangan yang diluluskan antara 2021 hingga Jun 2026 telah memasuki peringkat pelaksanaan.

“Angka ini menunjukkan keyakinan pelabur terhadap Malaysia tetapi kerja kita tidak terhenti setakat menarik pelaburan. Melalui MIDA, kita fokus memastikan projek yang diluluskan benar-benar dilaksanakan,” katanya. 

Tengku Zafrul berkata ukuran kejayaan bukan sekadar berdasarkan jumlah pelaburan yang diterima, tetapi jumlah pekerjaan berkualiti yang diwujudkan, teknologi yang dipindahkan dan peluang yang dibuka kepada syarikat tempatan.

“Itulah manfaat yang kita mahu untuk rakyat Malaysia,” katanya. 

Sidang kemuncak itu telah berlangsung selama dua hari dari 31 Oktober lepas bertujuan memperkukuh kerjasama ekonomi, perdagangan dan pelaburan antara negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dengan rakan antarabangsa.

-- BERNAMA 

 

Must Watch Video

Advertisement