Biarpun berbaki dua hari lagi sebelum menyerahkan jawatan pengerusi ASEAN kepada Laos, Malaysia tetap komited untuk melaksanakan agenda ke arah pembentukan komuniti ASEAN.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau sendiri akan memastikan cadangan termasuk pengenalan kad perjalanan perniagaan ASEAN dan laluan khas ASEAN di lapangan terbang dapat direalisasikan.

"Biarpun tempoh Malaysia sebagai pengerusi ASEAN bakal tamat, secara teknikalnya, dua hari lagi, saya akan terus mengetuai pelaksanaan cadangan-cadangan ini yang sebenarnya mampu dikecapi.

"Contohnya, kad perjalanan perniagaan ASEAN. Sekiranya APEC boleh melaksanakannya, kenapa tidak ASEAN?" katanya ketika berucap merasmikan sidang kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN 2015 sempena sidang kemuncak ASEAN ke-27 dan sidang berkaitan di ibu negara.

Beliau merujuk kepada beberapa cadangan yang dikemukakan kepada pemimpin-pemimpin ASEAN menerusi laporan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC).

Dalam pada itu, cadangan laluan khas ASEAN di lapangan terbang dilihat berupaya memacu perjalanan ASEAN sebagai sebuah komuniti.

"Anda tahu perasaannya apabila anda tiba di lapangan terbang dan melihat papan tanda "laluan ASEAN" ia suatu perasaan seperti anda berasal dari rantau ini. Bagi saya inilah langkah seterusnya sejajar dengan hasrat menjadikan ASEAN sebagai sebuah komuniti," katanya.