KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan merancang untuk mengembangkan lagi program Malaysia-Korea Friendly Sports Game (MKSG) pada tahun hadapan dan seterusnya.

Komitmen itu diberikan menterinya, Hannah Yeoh, yang yakin program seumpama itu bukan sahaja mampu meningkatkan kerjasama dalam sukan malah akan memberi manfaat kepada golongan belia khususnya.

"Kita mahu mengembangkan acara ini menjadi lebih besar, kita semua tahu bahawa industri Korea terutamanya K-pop sangat popular di Malaysia.

"Hari ini sahaja, kita ada ramai ahli perniagaan dari Korea, terdapat industri bernilai berbilion dolar, menunggu untuk kita manfaatkan.

"Jika kita cukup kreatif untuk merebut peluang, untuk melihat potensi yang boleh dibawa menerusi kerjasama ini, bukan sahaja dalam sukan di Malaysia tetapi untuk belia di Malaysia, saya percaya kita mampu melakukan sesuatu yang lebih besar tahun depan," katanya dalam ucapan perasmian Korea & Malaysia Friendly Sports Game: Celebrating The 40th Anniversary of The Look East Policy Through Sport, di Bukit Kiara, pada Ahad.

Program itu diadakan bagi memperingati dan meraikan hubungan Malaysia-Korea serta ulang tahun ke-40 Dasar Pandang Ke Timur, menerusi melalui pertukaran sukan dan kebudayaan.

Turut hadir ialah Jeneral Konsul Kedutaan Korea di Malaysia, Chung Suk Kyoon dan Pengerusi Majlis Sukan Korea di Malaysia, Lee Won Kyu.

Tambah Yeoh, sukan bukan sahaja mengenai pertandingan, tetapi ia juga merupakan medium berkesan untuk membina jambatan dan menjalin hubungan yang berpanjangan.

Selain acara sukan, program itu juga menampilkan persembahan kebudayaan kedua-dua negara, persembahan seni mempertahankan diri dan pameran makanan tradisi.