PUTRAJAYA:Malaysia melabur sebanyak RM40 juta untuk menyertai pelan peruntukan vaksin COVID-19 global atau dikenali sebagai COVAX.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, meskipun harga sebenar belum diketahui, namun pelaburan itu penting bagi memastikan Malaysia mendapatkan bekalan vaksin apabila ia dikomersialkan kelak.

"Kita perlu bayar sejumlah wang yang amat besar meskipun hanya boleh bekalkan (dapat) 10 peratus daripada jumlah populasi penduduk di sesebuah negara.

"Selain itu, apabila kita menjadi ahli COVAX, kita akan terikat untuk membeli peralatan COVAX berjumlah RM600 juta selain perlu membayar AS$20 untuk satu vaksin.

"Perkara ini tidak menghalang untuk kita sertai (COVAX) bagi mendapatkan vaksin daripada pembekal dan kita mengambil pendekatan untuk menyertainya meskipun harga sebenar vaksin masih belum diketahui," katanya dalam sidang media khas melalui video di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut menzahirkan rasa bangga dan teruja apabila kerajaan China meletakkan Malaysia sebagai negara utama untuk menerima bekalan vaksin COVID-19.

"Menerusi perbincangan secara dalam talian bersama Menteri Luar China, Wang Yi yang melakukan lawatan rasmi ke negara ini, perkara pokok yang dibincangkan adalah bantuan China ke Malaysia dalam semua aspek susulan pandemik COVID-19.

"Selain itu, ketika ini, China paling terkehadapan dalam penemuan vaksin dan prosesnya kini berada pada peringkat akhir serta dijangka akan diagihkan menjelang hujung tahun ini selepas proses (ujian) klinikal yang dijalankan menunjukkan kesan positif.

"Sehubungan itu, saya cukup berbangga dan suka apabila China mengumumkan kita antara negara utama dalam senarai untuk menerima bekalan vaksin itu," katanya.