NATIONAL
Malaysia laksana tugas dengan cemerlang sebagai Pengerusi ASEAN pada detik genting - Pengerusi FPCI

Dr Dino Patti Djalal berkata, dunia kini berada dalam keadaan yang amat sukar dan sistem antarabangsa sedang menghadapi tekanan hebat. - FB Dino Patti Djalal
KUALA LUMPUR: Malaysia telah melaksanakan tugas dengan cemerlang sebagai Pengerusi ASEAN dalam tempoh yang sangat mencabar ketika ini, kata Pengasas dan Pengerusi Komuniti Dasar Luar Indonesia (FPCI), Dr Dino Patti Djalal.
Bekas Naib Menteri Luar Indonesia itu berkata, dunia kini berada dalam keadaan yang amat sukar dan sistem antarabangsa sedang menghadapi tekanan hebat.
"Namun kepimpinan Malaysia sebagai pengerusi berjalan dengan mantap. Malaysia telah berunding dengan semua pihak berkepentingan. Saya percaya apabila Kepengerusian Malaysia tamat, ia bukan sekadar penutup biasa.
"Ia akan meletakkan asas bagi perancangan 20 tahun akan datang. Itu satu pencapaian yang besar," katanya semasa menyampaikan ucapan pembukaan dalam satu wacana umum bertajuk Road to ASEAN Vision 2045: When Expectations Meet the Reality anjuran FPCI, di sini, pada Khamis.Dino yang juga bekas Duta Indonesia ke Amerika Syarikat berkata, ketika perlumbaan senjata sedang berlaku di banyak bahagian dunia, ASEAN perlu lebih erat dan menentukan tindakan bersama untuk mengekalkan daya tahan rantau ini.
Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin yang turut menjadi ahli panel berkata, bagi merealisasikan Wawasan Komuniti ASEAN (ACV) 2045, rangka institusi ASEAN perlu lebih tangkas namun tetap menghormati prinsip keterangkuman dan kedaulatan.
"Menyeragamkan proses membuat keputusan dan memperkukuh keupayaan ASEAN untuk bertindak secara masa nyata amat penting bagi menangani isu serantau dan global secara berkesan serta mengekalkan kerelevanan ASEAN," katanya.
Berkongsi visinya mengenai ASEAN pada tahun 2045, Shamsul Iskandar menyuarakan harapan agar ketika itu, semua warga ASEAN boleh melancong, menetap dan belajar dengan mudah di mana-mana negara anggota.
"Dan jika pembelajaran sepanjang hayat diteruskan, saya boleh membuat PhD (Doktor Falsafah) di Vietnam. Anda boleh mendaftar di mana-mana universiti. Ia adalah satu dunia baharu ASEAN dalam tempoh 20 tahun akan datang," katanya.
Sementara itu, FPCI dalam kenyataan berkata, program itu yang merupakan perbincangan awam pertamanya di Kuala Lumpur, bertujuan memberi maklum balas kepada orang ramai berhubung syor-syor bagi ACV yang dirangka oleh 22 pakar dan pemikir dari 11 negara Asia Tenggara, sebagai satu aspirasi tentang hala tuju dan tumpuan ASEAN bagi dua dekad akan datang.
FPCI turut berharap dialog ini menjadi pemangkin kepada pembentukan dasar yang lebih inklusif dan berpaksikan penyertaan rakyat, agar masa depan ASEAN terus berakar pada suara rakyatnya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami