MALAYSIA
"Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni", tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil hari ini memperkenalkan logo dan tema Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 yang membawa tema “Malaysia MADANI Rakyat Disantuni”. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: "Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni" dipilih sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 (HKHM2025) manakala logo Malaysia MADANI kekal sebagai logo rasmi sambutan tahun ini.
Ringkasan AI
- Tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 ialah "Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni" dengan logo Malaysia MADANI dikekalkan.
- Sambutan Hari Kebangsaan akan diadakan di Putrajaya pada 31 Ogos manakala Hari Malaysia di Pulau Pinang pada 16 September, bersama 14 program sisipan termasuk Kembara Merdeka dan Wayang Pacak.
- Inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang diteruskan dengan tambahan kluster industri dan agensi kerajaan, serta rakyat diingatkan menjaga etika penggunaan bendera.
"Sambutan Hari Kebangsaan 2025 akan diadakan pada 31 Ogos di Dataran Putrajaya manakala sambutan Hari Malaysia tahun ini berlangsung pada 16 Sept di Pulau Pinang dan ia bertepatan dengan amalan penggiliran iaitu setiap tahun kita tukar lokasi sama ada Sabah, Sarawak dan Semenanjung," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mingguan di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), Angkasapuri di sini yang turut dihadiri Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Mengenai sambutan HKHM2025, Fahmi berkata terdapat 14 program sisipan akan dilaksanakan antaranya Kira Detik Merdeka, Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2025 dan Wayang Pacak Merdeka.
Selain itu, beliau berkata pengenalan inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang pada Hari Kebangsaan tahun lepas bagi menggalakkan rakyat Malaysia mengibar Jalur Gemilang akan diteruskan dengan penambahan dua kluster baharu iaitu kluster industri dan kluster agensi kerajaan.
"Pada 2024, kita berjaya melaksanakan program ini melibatkan lima kluster dengan jumlah keseluruhan 698 program. Sebelum ini, lima kluster yang terlibat ialah Pendidikan, Pendidikan Tinggi, Kesihatan, Keselamatan dan Komuniti.
"Program ini menggalakkan rakyat Malaysia mengibarkan Jalur Gemilang di rumah masing-masing, pejabat, premis perniagaan, bangunan kerajaan dan kenderaan persendirian," katanya.
Fahmi turut mengingatkan orang ramai supaya menjaga etika penggunaan Jalur Gemilang, termasuk tidak menggunakan bendera yang rosak atau koyak.
"Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai sambutan, lokasi program serta bahan kempen melalui portal rasmi Merdeka360," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami