JEDDAH: Malaysia mahu Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengambil tindakan lebih tegas terhadap Israel termasuk mengenakan embargo, boikot dan sekatan susulan kekejaman serta pelanggaran undang-undang antarabangsa terhadap rakyat Palestin.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata langkah berkenaan perlu dilaksanakan secara bersepadu oleh negara anggota OIC sekiranya persetujuan bersama dapat dicapai.
“Kita mahu memberikan tekanan kepada Israel melalui embargo, boikot atau apa juga bentuk sekatan terhadap rejim Zionis Israel.
“Kekejaman yang telah mereka lakukan dan kedegilan mereka melanggar undang-undang kemanusiaan serta undang-undang antarabangsa tidak boleh dibiarkan,” katanya hari ini.
Beliau mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Tergempar Majlis Menteri-Menteri Luar OIC di Jeddah hari ini bagi membincangkan perkembangan terkini berkaitan Palestin serta usaha memperkukuh pendirian negara anggota terhadap Israel.
Mohamad berkata Malaysia juga mahu OIC dan Liga Arab menyelaraskan tindakan menjelang persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada September ini bagi memastikan suara negara-negara Islam digembleng secara lebih tersusun dan berkesan.
Antara tindakan yang boleh dipertimbangkan ialah sekatan terhadap penghantaran bekalan senjata kepada Israel yang digunakan untuk melakukan kekejaman terhadap rakyat Palestin.
“Tekanan secara sistematik dan bersepadu perlu dilakukan oleh negara-negara OIC dan Liga Arab. Kalau boleh, kita mahu sekatan dikenakan terhadap Israel supaya tidak ada negara yang boleh menghantar bekalan senjata yang digunakan untuk membunuh dan melakukan kekejaman terhadap rakyat Palestin,” katanya.
Beliau berkata OIC juga perlu terus menyuarakan kecaman terhadap tindakan Israel serta memberikan tekanan supaya negara itu menerima rancangan gencatan senjata yang dikemukakan Amerika Syarikat.
Mohamad berkata beberapa negara Eropah telah mengambil langkah tidak membenarkan kapal yang membawa peralatan persenjataan singgah di pelabuhan mereka, manakala Malaysia telah lama melaksanakan pendirian seumpama itu.
Menteri Luar itu berkata embargo secara menyeluruh akan lebih berkesan sekiranya mendapat sokongan masyarakat antarabangsa dan diputuskan melalui Perhimpunan Agung PBB, selain mendapat kelulusan Majlis Keselamatan PBB.
Dalam pada itu, beliau berkata Malaysia turut membantah hasrat Israel memperluas penguasaannya di Tebing Barat melalui apa yang dipanggil sebagai E1 Plan, yang menurutnya akan mengembangkan lagi penempatan haram Israel di kawasan berkenaan.
Beliau berkata masyarakat antarabangsa perlu memastikan tindakan pengusiran rakyat Palestin dan pembakaran rumah mereka dihentikan segera, selain Israel berundur dari kawasan yang telah dikuasainya.
“Ini merupakan penjajahan yang melanggar undang-undang antarabangsa dan merupakan jenayah kemanusiaan terhadap rakyat Palestin. Ia tidak harus dipandang ringan oleh masyarakat antarabangsa,” katanya.
-- BERNAMA