Malaysia masih bebas penyakit Peste des Petits Ruminants

WOAH mengeluarkan peringatan kepada semua negara ASEAN agar meningkatkan tahap kesiapsiagaan, biosekuriti dan kesedaran berkaitan PPR. - Bernama
PUTRAJAYA: Malaysia masih bebas daripada wabak Peste des Petits Ruminants (PPR) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) kini dalam proses mendapatkan pengiktirafan status bebas PPR daripada Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (WOAH).
DVS dalam satu kenyataan memaklumkan penyakit yang disebabkan oleh virus Morbillivirus itu telah mewabak di Vietnam baru-baru ini, sekali gus mendorong WOAH mengeluarkan peringatan kepada semua negara ASEAN agar meningkatkan tahap kesiapsiagaan, biosekuriti dan kesedaran berkaitan PPR.
Menurut DVS, penyakit berkenaan tidak menjangkiti manusia atau bukan zoonotik, namun berpotensi memberi impak ekonomi yang besar terhadap industri ternakan serta keselamatan makanan berasaskan haiwan, selain boleh menggugat keterjaminan bekalan makanan negara.
"Penyakit ini menjangkiti ternakan ruminan kecil, khususnya kambing dan biri-biri. Ia sangat mudah berjangkit melalui sentuhan langsung antara haiwan atau menerusi peralatan, makanan serta pakaian yang tercemar.
"Kawalan penyakit ini amat kritikal selaras dengan sasaran WOAH untuk mencapai status ASEAN bebas PPR menjelang 2030," menurut kenyataan itu.
DVS memaklumkan bahawa walaupun Malaysia tidak mengimport sebarang ternakan ruminan atau produk ruminan dari Vietnam pada masa ini, pemantauan situasi semasa terus dipergiatkan melalui aktiviti pensampelan PPR di seluruh negara.
Jabatan itu turut meminta semua pihak, khususnya penternak, agar sentiasa peka terhadap perkembangan semasa penyakit haiwan dan segera melaporkan kepada DVS negeri berhampiran atau menghubungi talian hotline 03-8870 2041 sekiranya mengesan sebarang tanda klinikal pada ternakan masing-masing.
Penternak juga dinasihatkan supaya meningkatkan tahap biosekuriti ladang dengan memastikan setiap ternakan baharu yang dibawa masuk mempunyai permit pemindahan sah yang telah diperiksa oleh Pegawai Veterinar bertauliah, selain mengelakkan kemasukan ternakan tanpa permit sah, khususnya dari negara jiran.
Antara tanda klinikal pada ternakan yang perlu dilaporkan ialah demam tinggi, lelehan berlebihan pada mata dan hidung, luka pada bahagian mulut serta cirit-birit.
"Selain itu, kesukaran bernafas, kelesuan, kurang selera makan dan lemah badan turut dikenal pasti sebagai gejala jangkitan. Kematian boleh berlaku dalam tempoh 10 hingga 15 hari, khususnya melibatkan kambing atau biri-biri muda," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


