KUALA LUMPUR: Meskipun Malaysia telah meningkatkan kedudukan dalam ranking persepsi rasuah dunia bagi 2023, beberapa badan pemantau antirasuah memberi amaran bahawa terdapat halangan yang perlu diatasi bagi membolehkan negara ini meningkatkan lagi tadbir urus dan ketelusannya.

Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (Pusat C4) berkata kedudukan Malaysia di tempat ke-57 dari 180 negara dengan skor 50 daripada 100 dalam Indeks Persepsi Rasuah Antarabangsa (CPI) Transparency International (TI) 2023 membuktikan perubahan positif dalam cara rasuah dilihat di negara ini.

Bagaimanapun, ia berkata peningkatan itu yang boleh dianggap sebagai tanda kemajuan ke arah tadbir urus dan ketelusan lebih baik tidak mengurangkan pelbagai isu yang dialami oleh Malaysia dalam usaha memerangi rasuah.

"Meskipun skor itu sesuatu yang positif, perlu diingat bahawa 2023 bukanlah tahun yang berjalan lancar bagi Kerajaan Perpaduan apatah lagi ia dikritik hebat kerana didakwa mengamalkan pilih kasih dalam usaha menyelesaikan kontroversi membabitkan ahli politik berprofil tinggi," menurut badan itu dalam kenyataan hari ini.

Ia juga mendakwa pendorong rasuah seperti patronaj dan kronisme terus berlaku serta tidak ditangani dengan pelantikan politik sebagai pemegang jawatan penting syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Justeru, Pusat C4 berkata adalah penting bagi kerajaan untuk melaksanakan reformasi antirasuah yang sebenar dan substantif kerana Anwar sendiri telah menyatakan komitmen beliau bagi menaikkan Malaysia ke tempat 25 teratas ranking CPI dalam tempoh sepuluh tahun akan datang.

Antara syor yang diutarakan oleh badan itu ialah pengasingan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya bagi memastikan kebebasan dalam semua pendakwaan, reformasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dengan memberikan kebebasan penuh sebagai badan antirasuah tunggal serta perumusan Kod Etika dan Tatakelakuan Kementerian bagi mengawal selia pendorong rasuah.

Sementara itu, Platform CSO bagi Reformasi mencadangkan agar tadbir urus baik dimulai dengan memperkasa institusi sedia ada untuk meningkatkan elemen ketelusan seperti mensyaratkan pelantikan bagi jawatan dalam GLC dan badan berkanun perlu melalui mekanisme pelantikan yang telus dan penubuhan Pejabat Ombudsman.

"Berbekalkan kuasa menyiasat bagi mengesyorkan tindakan disiplin terhadap penjawat awam, ketua atau jabatan berkaitan, Ombudsman akan menyediakan semak dan imbang antara kerajaan dan rakyat," katanya.

Gabungan yang terdiri daripada lebih 60 pertubuhan masyarakat sivil Malaysia itu turut menggesa pengubalan Akta Kebebasan Maklumat yang penting dalam usaha meningkatkan tadbir urus negara dari segi ketelusan dan akauntabiliti kerana ia antara lain dapat meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam.

-- BERNAMA