KUALA LUMPUR: Malaysia berhasrat untuk memperluaskan kerjasama dengan Belanda khususnya membangunkan projek perintis yang boleh dilaksanakan dalam bidang mitigasi dan agenda ketahanan iklim.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim,Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kementeriannya dan Kedutaan Belanda telah terlibat dalam pelbagai kerjasama yang memberi tumpuan kepada bencana berkaitan air dan ketahanan perubahan iklim.

Beliau berkata yang paling terkini adalah bantuan dalam menangani bencana air yang diberikan menerusi skim Dutch Surge Support (DSS).

"Hasil daripada program ini adalah laporan oleh pasukan Pengurangan Risiko Bencana (DRR) yang menonjolkan kesenjangan, cabaran dan cadangan untuk memperbaiki risiko banjir di Malaysia yang selanjutnya meningkatkan respons kita terhadap risiko banjir masa depan dan kesan perubahan iklim yang berkaitan.

" Kita berharap untuk memperluaskan kerjasama ini secara khusus dalam membangunkan projek perintis yang boleh dilaksanakan berdasarkan cadangan daripada laporan Pasukan DRR serta program lain dalam bidang mitigasi banjir dan ketahanan iklim," katanya.

Nik Nazmi berkata demikian dalam ucapan pembukaan Dialog Air Malaysia-Belanda kali Keenam bersama Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) di sini, hari ini.

Beliau berharap Malaysia dapat belajar daripada pengalaman Belanda sebagai sebuah negara rendah yang berjaya menangani pelbagai isu berkaitan air.

"Rangkaian saliran, terusan dan pam yang rumit dibina oleh Belanda selama berabad-abad menunjukkan penguasaan mereka terhadap pengurusan air.

"Namun, perubahan iklim dengan ancaman peningkatan paras laut dan peningkatan hujan akan membawa cabaran kepada strategi pengurusan air Belanda. Oleh itu, Malaysia berharap untuk turut memahami bagaimana mereka menangani dengan cabaran baharu ini," katanya.

Sementara itu, Rutte melahirkan rasa kagum terhadap usaha Malaysia meningkatkan daya tahan banjir iaitu Terowong SMART yang menjadi ciri utama dalam usaha pengurusan banjir.

"Bagi kami di Belanda, terowong yang menyalurkan air banjir melepasi pusat bandar adalah kejayaan sebenar dalam bidang kejuruteraan," katanya.

Bagaimanapun, katanya, bahawa membina lebih banyak infrastruktur keluli dan konkrit mungkin tidak mencukupi dalam masa jangka panjang.

"Kami belajar bahawa infrastruktur hijau dan penyelesaian berasaskan alam semula jadi selalunya lebih berdaya tahan, fleksibel dan boleh berpatah balik daripada kaedah tradisional," katanya.

Dialog Air tersebut ialah acara tahunan yang dianjurkan bersama oleh NRECC dan Kedutaan Belanda di sini yang berfungsi sebagai platform untuk pakar menangani pelbagai isu berkaitan air.

Rutte tiba di Malaysia semalam untuk lawatan kerja dua hari iaitu lawatan kedua ke negara ini selepas 2014.

-- BERNAMA