MALAYSIA
Mesyuarat perkukuh kerjasama antara SPA persekutuan dan negeri

SPA telah menganjurkan Mesyuarat Suruhanjaya-Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Tahun 2025 sebagai usaha memperkukuh kerjasama strategik serta perkongsian maklumat antara SPA peringkat persekutuan dan negeri. - Foto SPA
MELAKA: Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) telah menganjurkan Mesyuarat Suruhanjaya-Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Tahun 2025 sebagai usaha memperkukuh kerjasama strategik serta perkongsian maklumat antara SPA peringkat persekutuan dan negeri.
Ringkasan AI
- SPA adakan Mesyuarat Suruhanjaya-Suruhanjaya Perkhidmatan Awam 2025 untuk perkukuh kerjasama dan teliti proses pelantikan penjawat awam.
- Mesyuarat dipengerusikan Datuk Seri Jailani Muhamed Yunus, bincang isu pelantikan, kenaikan pangkat, pertukaran perkhidmatan dan tatatertib.
- Karnival Kerjaya MADANI SPA Melaka berjaya tarik lebih 1,500 pengunjung dengan pelbagai khidmat konsultasi dan panduan kerjaya.
"Di samping itu, mesyuarat ini juga berperanan mengukuhkan jaringan strategik antara semua pihak berkuasa melantik (PBM) demi memperkasakan kerjasama antara persekutuan dan negeri," menurut kenyataan itu.
Terdahulu, mesyuarat dwitahunan itu dipengerusikan Pengerusi SPA merangkap Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan Datuk Seri Jailani Muhamed Yunus dengan kehadiran para pengerusi, ahli suruhanjaya serta setiausaha suruhanjaya perkhidmatan pendidikan, suruhanjaya pasukan polis, sembilan suruhanjaya perkhidmatan negeri serta wakil pengurus sumber manusia dari Melaka, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Perlis.
Menurut SPA, antara perkara dibincang ialah penambahbaikan proses pelantikan, pengesahan perkhidmatan, kemasukan ke jawatan berpencen, kenaikan pangkat, pertukaran perkhidmatan serta kawalan tatatertib, yang bermatlamat memastikan perkhidmatan awam kekal cekap, telus dan responsif terhadap kehendak rakyat.
Kenyataan itu memaklumkan mesyuarat berkenaan bukan sahaja menjadi medan bertukar-tukar pandangan malah titik tolak kepada pembaharuan, cabaran dan peluang baharu dalam memperkasa sistem perkhidmatan awam agar terus relevan serta mampu memenuhi cabaran abad ke-21.
Dalam pada itu, penganjuran Karnival Kerjaya MADANI SPA Melaka pada 17 Ogos lepas bersempena mesyuarat tersebut juga berjaya menarik lebih 1,500 pengunjung.
"Karnival tersebut menyediakan pelbagai perkhidmatan konsultasi termasuk maklumat pengambilan ke perkhidmatan awam, khidmat padanan jawatan, semakan status permohonan calon dalam Sistem Pendaftaran Pekerjaan SPA (SPA9) serta pendaftaran pekerjaan.
"Selain itu, sesi taklimat kerjaya, perkongsian panduan menduduki ujian psikometrik serta tip menghadiri temu duga turut diadakan sebagai nilai tambah kepada pencari kerja," menurut kenyataan itu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami