Skip to main content

Malaysia

​Malaysia mulakan operasi evakuasi rakyat Malaysia dari zon konflik Asia Barat

Operasi Evakuasi
Misi itu bakal membawa pulang sekumpulan rakyat Malaysia yang sebelum ini terkandas di beberapa lokasi termasuk Syria, Jordan dan Qatar. - Bernama

SEPANG: Malaysia memulakan Operasi Evakuasi Rakyat Malaysia dari Zon Konflik Asia Barat pada Selasa dengan menghantar pesawat sewaan khas Malaysia Airlines ke Jeddah, Arab Saudi.

Pesawat yang berlepas pada 4.10 petang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu dijadual tiba di Jeddah pada 8.50 malam (waktu tempatan), sebelum berlepas pulang ke tanah air pada 10.20 malam.

Advertisement

​Penerbangan itu yang turut disertai wartawan dan jurufoto Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) serta jurukamera Radio Televisyen Malaysia (RTM), dijadualkan tiba di KLIA tengah hari esok (11 Mac).

Difahamkan misi itu bakal membawa pulang sekumpulan rakyat Malaysia yang sebelum ini terkandas di beberapa lokasi termasuk Syria, Jordan dan Qatar.

Kumpulan ini difahamkan merangkumi mereka yang telah dipindahkan ke Jeddah untuk menaiki penerbangan pulang, selain melibatkan lima warganegara Thailand yang merupakan ahli keluarga kepada rakyat Malaysia yang terjejas.

Jumlah penumpang bagi misi pertama ini dianggarkan sekitar 200 orang yang terdiri daripada pelajar, pengembara serta jemaah umrah, namun angka akhir tertakluk kepada pengesahan di lapangan.

​Operasi itu dilaksanakan atas arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar semua langkah yang perlu digerakkan dengan segera bagi memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di kawasan terlibat sentiasa terpelihara.

MKN menyelaras operasi ini dengan kerjasama rapat Kementerian Luar melalui Pejabat Perwakilan Malaysia di negara-negara berkaitan.

Ketegangan di Asia Barat meruncing sejak 28 Feb susulan serangan Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran, diikuti oleh serangan balas Tehran terhadap kepentingan AS di negara Teluk.

​-- BERNAMA

Must Watch Video