Malaysia mungkin berdepan peningkatan kes mendadak dalam tempoh terdekat.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata setakat Khamis, nilai R0 atau 'R naught' adalah 1.36 dan jika ia meningkat lebih daripada 1.6, semakin ramai yang akan dijangkiti.

“Kebolehjangkitan kes kita pada 9 Julai adalah 63 kes, dan pada hari ini kita ada pertambahan 143 kes kebolehjangkitan.

"Ini bermaksud ia terdapat bilangan berganda, 63 kes kepada 143 kes. Jadi, kita bimbang kalau R0 semakin meningkat bererti semakin ramai akan dijangkiti.

“Pada hari ini, R0 kita adalah 1.36 dan apa yang membahayakan kita ialah kalau peratusan itu meningkat lebih daripada 1.6.

“Itu bererti kita akan mendapatkan peningkatan kes secara mendadak dalam tempoh masa terdekat,” jelas Dr Noor Hisham.

Sebelum ini, beliau pernah memaklumkan dengan usaha menurunkan nilai kebolehjangkitan atau R0 kurang daripada angka 1 secara berterusan akan membantu mengakhiri sesuatu wabak.

Katanya jika nilai R0 adalah 4, ia bermakna setiap seorang kes positif boleh menyebarkan penyakit ini kepada empat orang lain.

Sebagai rekod, R0 adalah merujuk kepada kebolehjangkitan sesuatu virus pada permulaan sesuatu wabak dalam masyarakat, iaitu secara puratanya berapa ramai orang yang boleh dijangkiti oleh kes itu.

BACA: KKM sambut baik arahan kerajaan wajibkan pemakaian pelitup muka


BACA: COVID-19: Kes positif kembali satu angka dengan 9 kes baharu