PUTRAJAYA: Malaysia dan Myanmar sepakat memperkukuh kerjasama dalam tujuh bidang termasuk perdagangan, pelaburan dan pendidikan demi kepentingan rakyat kedua-dua negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, persetujuan itu dicapai dalam pertemuan dua hala bersama Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing di Bangunan Perdana Putra, di sini, hari ini.
Menurutnya, empat lagi bidang yang menjadi tumpuan ialah agromakanan, tenaga, penjagaan kesihatan dan pembangunan kapasiti.
Beliau berkata, kedua-dua negara bersetuju bahawa kepentingan rakyat perlu terus menjadi keutamaan meskipun masih terdapat beberapa isu yang perlu ditangani dalam hubungan dua hala.
“Kami turut bersetuju bahawa meskipun terdapat isu yang perlu ditangani, tumpuan mesti diberikan kepada rakyat.
“Ini bermakna perdagangan, pelaburan dan kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, agromakanan, tenaga, penjagaan kesihatan serta pembangunan kapasiti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Min Aung Hlaing sempena lawatan rasmi Presiden Myanmar itu ke Malaysia, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata, hubungan ekonomi Malaysia dan Myanmar menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan dengan peningkatan melebihi 140 peratus, meskipun beliau tidak memperincikan indikator atau tempoh perbandingan angka berkenaan.
Katanya, kedua-dua negara mempunyai hubungan baik sejak sekian lama, namun perkembangan mutakhir telah menjejaskan kemajuan kerjasama yang sebelum ini terjalin.
Justeru, beliau menegaskan kepentingan memperkukuh semula hubungan dua hala melalui perbincangan terbuka dan konstruktif bagi membolehkan kedua-dua pihak memahami pendirian masing-masing.
Anwar turut menyifatkan lawatan rasmi Min Aung Hlaing sebagai penting bukan sahaja kepada Malaysia dan Myanmar, malah kepada rantau ini secara keseluruhan.
Beliau berkata, Malaysia akan terus berusaha memperluas kerjasama dengan Myanmar, khususnya melalui hubungan dua hala dan dalam konteks ASEAN.