KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia menafikan Malaysia melanggarkan syarat-syarat dalam Memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani bersama Indonesia bagi pengambilan dan perlindungan pekhidmat domestik Indonesia (PDI) di negara ini. 

Menterinya, Datuk Seri M Saravanan berkata tiada sebarang persetujuan dibuat oleh Malaysia untuk memansuhkan sistem sedia ada, termasuk System Maid Online (SMO).

"Tiada sebarang syarat untuk  memansuhkan syarat sedia ada, dan apa yang dinyatakan dalam MoU adalah menggunakan sistem yang sedia ada di Malaysia untuk pengambilan pekerja asing tetapi ia tidak mensyaratkan untuk memansuhkan sistem yang kita ada," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Anthony Loke (PH-Seremban) yang meminta penjelasan sama ada pemansuhan SMO merupakan salah satu syarat yang dipersetujui kedua-dua negara dalam MoU yang ditandatangani pada April lalu.

Terdahulu, Malaysia didakwa melanggar MoU itu berikutan Jabatan Imigresen terus menggunakan SMO, sedangkan kedua-dua negara dilapor bersetuju menggunakan satu saluran, iaitu One Channel System (OCS) yang dimeterai melalui MoU.

BACA: Indonesia beku penghantaran pekerja ke Malaysia serta-merta - Laporan

Mengulas lanjut, Saravanan (BN-Tapah) berkata, persetujuan telah dicapai bersama Indonesia untuk mengintegrasikan sistem sedia ada dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan sistem yang dicadangkan oleh republik itu, iaitu OCS bagi membolehkan Indonesia memantau rekod kemasukan rakyat mereka sebagai pekerja asing di Malaysia.

Saravanan juga menafikan bahawa Indonesia telah membatalkan kemasukan warga Indonesia ke Malaysia, sebaliknya ia hanya penangguhan sementara kemasukan ekoran kekeliruan yang timbul dalam mekanisme pengambilan PDI ke negara ini. 

Tambahnya, Mesyuarat Jawatankuasa bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang berlangsung semalam bersetuju agar satu perbincangan segera diadakan bersama Duta Besar Republik Indonesia ke Malaysia, Hermono bagi menyelesaikan permasalahan berkenaan.