MALAYSIA
Malaysia negara ke-16 dunia miliki perundangan sektor ekonomi gig - Sim

Steven Sim berkata, perkara ini akan memberikan keyakinan kepada para pelabur luar kerana kita menghormati amalan perburuhan dengan piawaian antarabangsa. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Malaysia menjadi antara negara terawal di dunia yang mempunyai perundangan khas bagi sektor ekonomi gig selepas Rang Undang-undang (RUU) Pekerja Gig 2025 diluluskan Dewan Rakyat hari ini, kata Menteri Sumber Manusia Steven Sim.
"Kita negara ke-16 di dunia yang ada perundangan seumpama ini, maknanya kita terkehadapan dalam memperkasakan sektor ini.
"Pastinya perkara ini akan memberikan keyakinan kepada para pelabur luar kerana kita menghormati amalan perburuhan dengan piawaian antarabangsa," katanya pada sidang media di bangunan Parlimen selepas RUU itu diluluskan dengan suara majoriti ahli Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata sebagai langkah ke depan, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan mengadakan siri jelajah di seluruh negara untuk bertemu dengan pihak berkepentingan supaya mereka benar-benar memahami serta mematuhi kerangka perundangan dalam RUU berkenaan.Terdahulu, ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu, Sim berkata isu ketidaktentuan kadar upah dan bayaran dalam kalangan pekerja ekonomi gig di negara ini akan ditangani menerusi penubuhan sebuah Majlis Perundingan Tripartite.
Beliau berkata majlis itu akan melibatkan tiga pihak utama, iaitu wakil pekerja gig, wakil penyedia platform atau majikan dan wakil kerajaan sebagai platform untuk perbincangan kadar upah secara bersama.
"Dalam majlis perundingan ini, bukan kerajaan dan syarikat yang tentukan kadar ataupun formula seperti sekarang, tetapi pekerja dengan majikan sama-sama duduk dalam (satu) platform," katanya.
Sim berkata pendekatan itu penting kerana pekerja gig ketika ini tidak mempunyai sebarang saluran sah untuk merunding kadar bayaran atau gaji mereka secara langsung.
Selain itu, beliau berkata RUU itu akan memastikan pekerja gig dilindungi daripada tindakan penamatan, penggantungan atau penyahaktifan sewenang-wenangnya oleh entiti kontrak seperti syarikat penyedia platform.
Mengenai status pekerja gig, Sim berkata mereka kekal sebagai pekerja bebas (freelancer) dan berhak untuk membuat pilihan kerja.
Katanya, situasi ini berbeza dengan status pekerja tradisional di bawah Akta Kerja 1955 dengan pekerja gig bersifat contract for service (pekerja sambilan/kontrak) dan bukan contract of service (pekerja tetap).
RUU Pekerja Gig 2025 bertujuan membela nasib 1.2 juta pekerja gig di negara ini yang mempunyai empat komponen asas melibatkan definisi pekerja gig, mekanisme kilanan, isu kadar bayaran dan keselamatan sosial.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami