Para wartawan sama ada tempatan mahupun antarabangsa mempunyai kebebasan untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pengamal media.

Meskipun begitu Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menegaskan kebebasan itu perlu berlandaskan undang-undang dan mengambil kira kepelbagaian bangsa di Malaysia.

"Tuan-tuan dan puan-puan mempunyai kebebasan untuk menjalankan peranan dan tanggungjawab sebagai wartawan, melaporkan apa sahaja, tetapi negara kita mempunyai undang-undang tertentu dan amat penting untuk mengawal kepelbagaian kaum dan agama di negara kita.

"Sekali lagi saya memberi jaminan kepada media tempatan dan antarabangsa, keselamatan sentiasa terjamin. Jika ada ugutan-ugutan boleh tampil buat laporan polis dan kami akan siasat," katanya pada sidang media mengenai perkembangan terkini isu keselamatan negara di sini, pada Jumaat.

BACA: Al Jazeera English sedia bertemu wakil Kerajaan Malaysia

Mengulas mengenai laporan agensi Al Jazeera yang dilihat memburukkan imej Malaysia menerusi dokumenari cara negara ini mengendalikan pendatang tanpa izin (PATI), Abdul Hamid memberitahu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa bertindak adil dan saksama kepada semua pihak.

Jelasnya, kesemua enam editor dan wartawan agensi antarabangsa itu dipanggil sebagai saksi bagi membantu siasatan dan bukannya sebagai suspek.

"This is the safest country (ini adalah negara paling selamat). Jangan takut, kami tidak akan membiarkan sesiapa membahayakan mereka.

"Berani dan profesional. Kita masih membenarkan mereka untuk mendapatkan barisan peguam yang terbaik," tambahnya.

Menjelaskan mengenai perkara itu, beliau berkata, Jabatan Peguam Negara akan memutuskan sama ada mereka akan didakwa atau sebaliknya berdasarkan kertas siasatan selepas keterangan diambil.

Hari ini, enam kakitangan Al Jazeera hadir ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk memberi keterangan kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman seperti yang diarahkan PDRM.