BANGKOK: Malaysia berusaha sedaya upaya untuk mempercepatkan kemajuan ke arah mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) menjelang 2030.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata rangka kerja institusi telah ditetapkan dalam memastikan penyertaan inklusif yang melibatkan semua pihak berkepentingan untuk mempercepatkan pelaksanaan SDG.

Beliau berkata pandemik COVID-19 telah membantutkan beberapa usaha Malaysia ke arah kemajuan SDG sebelum ini dan memburukkan lagi jurang sosial dan ekonomi sedia wujud.

Daripada 146 petunjuk yang tersedia pada 2020, 49 (34 peratus) telah bertambah baik, 34 (23 peratus) tidak berubah, manakala 41 (28 peratus) telah menurun, manakala baki 22 (15 peratus) adalah tidak berdasarkan statistik.

"Malaysia kekal komited untuk mencapai matlamat...Kami mahu membuktikan kepada dunia bahawa kami adalah pemain global yang serius untuk memacu matlamat SDG berdasarkan semua inisiatif, rangka kerja perundangan dan dasar teras negara.

"Kami berharap dengan komitmen, keazaman, termasuk bekerjasama dengan negara lain, kami akan dapat menjadikan Malaysia sebagai model contoh matlamat SDG," katanya kepada Bernama di sini, pada Isnin.

Nga berada di Bangkok untuk menghadiri Forum Asia-Pasifik mengenai Pembangunan Mampan ke-10.

Beliau menyertai 1,300 wakil dari 51 negara dalam forum anjuran Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Asia dan Pasifik.

Forum itu menghimpunkan para pengiat pembangunan utama, termasuk pegawai kanan kerajaan dan PBB, sektor swasta, wakil belia dan masyarakat sivil untuk berkongsi cabaran dan pengalaman bagi mencapai matlamat bersama.

Pada forum itu, Nga turut menyampaikan kenyataan negara mengenai "Ke Arah Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Mampan 2023" di mana Nga berkata kementeriannya memberi tumpuan pada tujuh bidang utama yang akan mempercepatkan menyesuaian SDG mengikut acuan setempat dengan berkesan.

Ini termasuk mempertingkat agenda bandar pintar dan mampan, membangun dan memperkasakan kerajaan tempatan, mengukuhkan kewangan perbandaran, membangunkan pelan perumahan yang komprehensif, memperkasa masyarakat, mengurus sisa pepejal dengan berkesan dan cekap ke arah 'circular economy' dan mengukuhkan kesediaan anggota bomba kita, katanya.

Sementara itu, Nga berkata kerajaan akan meningkatkan kualiti kawasan bandar dengan menyediakan ruang sosial yang meningkatkan kebolehdiaman, mengurangkan pelepasan karbon dan pada masa sama memulihara dan melindungi biodiversiti bandar.

"Setakat ini terdapat 11,773 taman dan kawasan lapang yang boleh diakses oleh orang ramai.

"Kita juga telah menanam 58.52 juta pokok dan sasaran 100 juta pokok menjelang 2025 serta menyediakan 20 meter persegi kawasan lapang dan kawasan hijau kepada setiap penduduk," katanya.

Untuk menerajui inisiatif strategik ke arah pembangunan dan penggunaan EV di Malaysia, Nga berkata kementeriannya telah membangunkan Garis Panduan Perancangan stesen pengecas EV di Malaysia.

Malaysia juga telah membangunkan Pelan Tindakan Mobiliti Rendah Karbon (2021-2030) yang merupakan strategi dan pelan tindakan bagi sektor pengangkutan darat untuk mencapai objektif mengurangkan penggunaan tenaga dan pelepasan GHG menjelang 2030.

Nga berkata terdapat banyak lagi usaha yang dijalankan untuk memastikan Malaysia mencapai agenda 2030.

-- BERNAMA