Ringkasan AI
- Malaysia menegaskan komitmen memperkukuh bekalan perubatan, pencegahan penyakit dan keterangkuman dalam agenda kesihatan global di Mesyuarat WHO WPRO ke-77.
- Malaysia memimpin inisiatif ADSSR ASEAN untuk mengurangkan kebergantungan kepada rantaian bekalan luar dan memastikan akses ubat-ubatan semasa cabaran bekalan.
- Malaysia menyeru WHO mempercepat peralihan kepada tindakan konkrit dan menegaskan pentingnya solidariti serantau serta kerjasama membina sistem kesihatan mampan.
KUALA LUMPUR: Malaysia menegaskan komitmen untuk memperkukuh kemampanan bekalan perubatan, memperluas langkah pencegahan penyakit dan meningkatkan keterangkuman dalam agenda kesihatan global pada Mesyuarat Jawatankuasa Serantau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi Pasifik Barat (WPRO) ke-77 di Manila.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata perkara itu antara fokus utama yang diketengahkan menerusi Kenyataan Negara yang disampaikannya pada mesyuarat berkenaan.
Beliau berkata Malaysia memimpin inisiatif Jaminan Ubat-ubatan dan Kesediaan Berdikari ASEAN (ADSSR) bagi mengurangkan kebergantungan rantau ini terhadap rantaian bekalan luar yang terdedah kepada gangguan.
“Inisiatif ini bertujuan memperkukuh daya tahan bekalan perubatan serantau bagi memastikan akses kepada ubat-ubatan tidak terjejas ketika berdepan cabaran bekalan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Dzulkefly berkata Malaysia turut menekankan peralihan daripada pendekatan berasaskan rawatan kepada pencegahan penyakit, termasuk memperluas saringan penyakit tidak berjangkit (NCD) dalam komuniti.
Usaha itu turut merangkumi pemerkasaan cukai gula serta penyepaduan Inisiatif Kesihatan Paru-paru di fasiliti penjagaan primer.
Dalam aspek kesihatan global, beliau berkata Malaysia memperjuangkan kepentingan negara membangun dan Negara-Negara Pulau Kecil Membangun (SIDS) bersama-sama Jepun dan China dalam agenda reformasi kesihatan global.
Beliau turut menegaskan bahawa WHO perlu mempercepat peralihan daripada peranan sebagai penasihat kepada pelaksanaan tindakan konkrit yang memberikan impak nyata kepada masyarakat.
“Kepimpinan WHO perlu beralih dengan lebih pantas daripada peranan sebagai penasihat kepada pelaksana tindakan konkrit yang memberikan impak di lapangan,” katanya.
Dzulkefly berkata solidariti serantau perlu diterjemahkan kepada langkah pencegahan proaktif dan tindakan berkesan bagi memastikan tiada golongan yang tercicir daripada mendapat manfaat perkhidmatan kesihatan.
Beliau berkata Malaysia bersedia berkongsi kepakaran dan memperkukuh kerjasama serantau bagi membina sistem kesihatan yang lebih berdaya tahan, mampan dan saksama.
-- BERNAMA