SUBANG JAYA: Industri media perlu memperkukuh kerjasama bagi membangunkan kerangka penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang lebih jelas, seiring perkembangan teknologi dalam sektor komunikasi dan penyiaran.
Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ashwad Ismail berkata, penggunaan AI menawarkan pelbagai peluang kepada industri, namun kesannya terhadap bakat, kreativiti dan penghasilan kandungan perlu diberi perhatian.
“Selain garis panduan, kita juga memikirkan cara untuk bekerjasama dengan semua organisasi media di dalam negara dan di Asia bagi menghasilkan cadangan yang lebih baik, mencari satu kerangka dan membantu ke arah pembentukan kerangka undang-undang AI yang lebih jelas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada The 9th Taylor’s International Search Conference 2026 di Taylor’s University Lakeside Campus, Subang Jaya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan penggunaan teknologi baharu perlu disertai tanggungjawab bagi memastikan kandungan yang dihasilkan kekal berintegriti serta mendapat kepercayaan masyarakat.
“Perkara paling penting sekarang ialah setiap maklumat yang kita hasilkan, sama ada kita bertanggungjawab, sama ada kita ikhlas dan akhirnya, sama ada orang ramai mempercayai kandungan yang kita hasilkan atau produk yang kita paparkan di media,” katanya.
Ashwad turut menekankan kepentingan hubungan strategik antara institusi akademik dan industri media bagi membincangkan kesan serta implikasi AI, sekali gus mencari pendekatan yang dapat memastikan teknologi itu dimanfaatkan secara bertanggungjawab.