PULAU LAYANG-LAYANG: Malaysia akan memperkukuh keupayaan pengawasan di Laut China Selatan menerusi pemasangan radar pertahanan udara baharu di Pulau Layang-Layang yang dijangka beroperasi menjelang 2029.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, radar itu akan ditempatkan di Stesen Lima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi melengkapkan sistem radar pengawasan maritim sedia ada di kawasan berkenaan.
Menurut beliau, langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk meningkatkan kesedaran domain maritim serta memperkukuh kesiapsiagaan pertahanan negara di kawasan strategik Laut China Selatan.
Katanya, Pulau Layang-Layang mempunyai kepentingan strategik kerana terletak di kawasan yang melibatkan pertindihan tuntutan beberapa negara.
"Kehadiran kita di sini menunjukkan komitmen kerajaan untuk mempertahankan kedaulatan negara kerana ini merupakan barisan hadapan negara kita," katanya semasa lawatan kerja ke Stesen Lima TLDM, pada Selasa.
Lawatan tersebut bertujuan meninjau tahap kesiagaan operasi serta kebajikan warga yang bertugas di stesen berkenaan.
Stesen Lima yang terletak kira-kira 162 batu nautika barat laut Kota Kinabalu memainkan peranan penting dalam mempertahankan kedaulatan negara selain menyokong operasi pemantauan di Laut China Selatan.
Selain radar pengawasan, stesen itu turut mengendalikan sistem udara tanpa pemandu yang mampu beroperasi sehingga tujuh jam bagi melaksanakan pemantauan berterusan pada waktu siang dan malam.
Mohamed Khaled berkata, penambahan aset serta sistem pengawasan itu akan memperkukuh keupayaan Malaysia memantau aktiviti di kawasan strategik, sekali gus melindungi kepentingan negara di Laut China Selatan.