KUALA LUMPUR: Malaysia perlu membatalkan kesemua lima reservasi yang masih terpakai terhadap Konvensyen Hak Kanak-Kanak (CRC).

Profesor Undang-undang Keluarga, Wanita dan Kanak-kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Prof. Datuk Noor Aziah Mohd Awal berkata, ini bagi memastikan penjagaan hak kanak-kanak di Malaysia adalah menyeluruh.

"Sebenarnya kita ada 54 artikel dalam Konvensyen Hak Kanak-Kanak (CRC). Tetapi Malaysia yang menandatangani konvensyen tersebut sekalipun masih mengecualikan lima artikel.

"Antara lima tersebut, elemen yang paling penting ialah hak untuk tidak didiskriminasi. Ini sangat penting sebab kanak-kanak semua sama rata. Kita di Malaysia ada kanak-kanak tanpa dokumen, anak tanpa kewarganegaraan, dan anak pelarian.

"Baru-baru ini ada khabar menyatakan kita mahu ambil pelarian daripada Palestin. Jangan kita amalkan dwistandard. Kalau kita mahu tolong pelarian dan kanak-kanak dari Palestin, kita perlu juga lihat kanak-kanak dari Rohingya dan mana-mana negara yang berada di Malaysia. Itu yang saya rasa perlu kita pertahankan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Isnin.

Menurut Noor Aziah bahagian lain dalam CRC yang direservasi oleh Malaysia ialah Artikel berkaitan hak kewarganeragaan, hak beragama dan hak selamat daripada penyeksaan.

"Kita perlu kembali kepada asas konvensyen kanak-kanak itu dan pastikan semua pengecualian ditarik balik. Ini sangat penting, terutamanya pada sambutan Hari Kanak-kanak, hak kita dan masa depan kita. Masa depan apa kalau kita masih mengecualikan lima perkara ini," ujarnya.