SHAH ALAM: Malaysia perlu beralih daripada sekadar menggunakan teknologi luar kepada sebuah negara yang berupaya mencipta, membangun dan menguasai teknologi sendiri bagi memastikan daya saing terus diperkukuh pada masa hadapan.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pembangunan Malaysia kini memasuki fasa penting yang memerlukan penguasaan ilmu pengetahuan dan teknologi sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi serta kesejahteraan rakyat.
"Pengukuhan pendidikan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) perlu menjadi agenda nasional yang disokong oleh semua pihak bagi melahirkan lebih ramai bakat tempatan.
"Negara tidak boleh bergantung kepada inovasi luar selama-lamanya kerana Malaysia mempunyai potensi besar untuk melahirkan saintis, jurutera dan pencipta teknologi bertaraf dunia," katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang pada peringkat akhir Cabaran Sains Kebangsaan (NSC) 2026 Piala Pusingan Perdana Menteri di sini hari ini.
Sementara itu, Lih Kang berkata aspirasi kerajaan adalah memastikan lebih ramai pelajar melihat STEM sebagai bidang yang mampu membentuk masa depan mereka serta menyumbang kepada pembangunan negara.
“Kita mahu anak-anak Malaysia bukan sahaja mahir menggunakan teknologi, malah mempunyai keupayaan menghasilkan penyelesaian baharu yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat dan industri,” katanya.
Beliau berkata, pelbagai cabaran global seperti isu keselamatan makanan, tenaga, kesihatan awam, sumber air, perubahan iklim serta penggunaan kecerdasan buatan memerlukan negara memiliki kepakaran teknologi sendiri.
Menurutnya, kerajaan sentiasa memperluaskan inisiatif bagi menarik minat generasi muda mendalami bidang STEM sejak di bangku sekolah lagi.
Statistik menunjukkan penyertaan pelajar dalam aliran STEM meningkat daripada 40.95 peratus pada 2021 kepada 50.83 peratus pada 2024, sekali gus membuktikan usaha memperkasa bidang itu mula menunjukkan hasil.
Namun begitu, katanya, kadar penyertaan dalam aliran sains tulen yang masih berada sekitar 15.8 peratus perlu diberi perhatian kerana ia mencerminkan masih terdapat ruang untuk penambahbaikan.
“Peningkatan penyertaan dalam STEM adalah perkembangan yang memberangsangkan, namun kita perlu memastikan lebih ramai pelajar terus memilih dan kekal dalam bidang sains tulen kerana negara memerlukan tenaga mahir untuk memenuhi keperluan masa depan,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan agenda STEM memerlukan kerjasama erat antara kementerian, institusi pendidikan, universiti, sektor industri dan masyarakat.
Beliau turut menegaskan bahawa Cabaran Sains Kebangsaan tidak seharusnya dilihat sebagai pertandingan tahunan semata-mata, sebaliknya menjadi platform pembangunan bakat secara berterusan.
Menurutnya, peserta yang mempunyai potensi tinggi perlu diberi bimbingan lanjutan melalui program mentor, akses kepada makmal penyelidikan, peluang biasiswa serta rangkaian inovasi.
"Perhatian khusus juga perlu diberikan kepada pelajar dari luar bandar termasuk Sabah dan Sarawak serta golongan keluarga berpendapatan rendah supaya mereka tidak tercicir daripada peluang mengembangkan bakat.
"Oleh itu, guru memainkan peranan penting dalam mencungkil minat dan keyakinan pelajar untuk meneroka bidang sains serta inovasi sejak usia muda. Guru merupakan pemangkin kepada lahirnya generasi inovatif. Dengan bimbingan yang berterusan, idea yang bermula di bilik darjah mampu berkembang menjadi penyelidikan, teknologi dan perusahaan yang memberi impak kepada negara,” katanya.
Beliau berharap usaha memperkukuh ekosistem STEM akan melahirkan lebih ramai pencipta, penyelidik dan usahawan teknologi tempatan sekali gus meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaya saing serta dihormati dalam bidang inovasi di peringkat antarabangsa.