KUALA LUMPUR: Malaysia perlu menggerakkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan semua kesatuan negara lain untuk memberi tekanan terhadap Israel demi membebaskan Palestin daripada penaklukan haram Zionis sejak 1948.

Timbalan Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM) Muhamad Hisham Marzuki berkata Mahkamah Jenayah Antarabangsa juga perlu memulakan prosiding keganasan Israel terhadap Palestin.

"PPMM menyeru kepada kerajaan untuk bersatu padu bersama negara-negara Islam lain dalam membela nasib rakyat Palestin dan menjaga kesucian salah satu daripada tiga masjid suci Islam daripada terus dicemari dan dikotori oleh kebobrokan dan kekejaman rejim Zionis Israel," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

PPMM menggesa Kementerian Luar untuk terus membantu rakyat Palestin melalui saluran antarabangsa dalam memberikan tekanan kepada rejim Zionis untuk menghentikan pembunuhan dan pengeboman ke atas orang awam terdiri daripada wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa, kata Muhamad Hisham.

Beliau berkata PPMM juga berpendirian perjuangan rakyat Palestin adalah sebagai suatu tanggungjawab bersama bagi setiap muslim sejagat dalam mempertahankan kesucian Masjid Al-Aqsa dan bukan sebagai isu terpencil yang dialami oleh rakyat Palestin sahaja.

Kata Muhamad Hisham, PPMM menghargai setiap tindakan rakyat Malaysia yang membantah kekejaman Zionis Israel walaupun sekadar menulis di media sosial, menyebarkan kempen anti-Zionis Israel ataupun memberi bantuan kewangan.

-- BERNAMA