NATIONAL
Malaysia perlu komunikasi dasar lebih baik, reformasi berani dan pendidikan inklusif - Forum

Sidang kemuncak itu dihadiri oleh beberapa panelis iaitu penerbit dan penyampai BFM, Sharaad Kuttan; Ketua Ekonomi Ambank, Firdaos Rosli dan Felo Penyelidik IKMAS UKM, Dr Muhammed Abdul Khalid. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Malaysia perlu melaksanakan reformasi berani dalam ekonomi dan politik serta memperkukuh sektor pendidikan untuk memastikan masa depan negara yang lebih cerah.
Ringkasan AI
- Malaysia perlu melaksanakan reformasi ekonomi, politik, dan memperkukuh sektor pendidikan untuk memastikan masa depan negara yang lebih cerah, dengan dasar yang mudah difahami dan memenuhi keperluan rakyat.
- Panelis menekankan kepentingan komunikasi yang jelas dalam pelaksanaan dasar, kerana harapan tinggi rakyat terhadap kerajaan boleh beralih kepada kekecewaan jika perubahan tidak berlaku segera, selain kepercayaan terhadap institusi kerajaan semakin terhakis.
- Cabaran utama termasuk keseimbangan antara kecekapan ekonomi dan populariti politik serta penerimaan masyarakat terhadap dasar seperti pengurangan subsidi, di mana tanpa keyakinan rakyat, dasar yang baik masih berisiko ditolak.
Sharaad Kuttan berkata, Perdana Menteri dan Kabinet perlu bertanggungjawab terhadap kejelasan komunikasi dasar kerana rakyat sering meletakkan harapan tinggi kepada kerajaan baharu, namun apabila perubahan tidak berlaku segera, rasa kecewa muncul.
"Perdana Menteri dan kerajaan yang memerintah sebenarnya tidak mempunyai kuasa untuk menyelesaikan semua masalah. Namun begitu, setelah dipilih, mereka perlu bertanggungjawab terhadap objektif dan tujuan mengapa mereka dipilih, khususnya untuk menyelesaikan isu-isu ekonomi.
"Jadi, dalam konteks ini, sejauh mana dasar-dasar ekonomi itu dapat diakses dan difahami oleh rakyat? Bagaimana pula dengan sikap atau pemikiran yang wujud dalam kalangan rakyat? Bagaimanakah untuk memastikan dasar itu benar-benar berkesan di peringkat akar umbi dan mencapai matlamatnya, terutamanya jika aspek komunikasi perlu diberi lebih perhatian?," katanya ketika forum yang berlangsung pada Sabtu.
Dalam pada itu, panelis ketiga, Firdaos Rosli yang merupakan seorang bekas pegawai kerajaan berkongsi bahawa dahulu rakyat lebih mempercayai institusi kerajaan, namun kini kepercayaan itu semakin terhakis.
Beliau berkata, kerajaan perlu menyeimbangkan antara kecekapan ekonomi dan populariti politik dalam merangka dasar.
Justeru itu, seorang lagi panelis, Dr Muhammed Abdul Khalid, membincangkan cabaran yang dihadapi kerajaan dalam melaksanakan dasar-dasar ideal yang kadangkala sukar diterima oleh masyarakat, seperti isu pengurangan subsidi.
Beliau menegaskan bahawa tanpa keyakinan rakyat terhadap kepimpinan serta pihak yang bertanggungjawab menyampaikan dasar, sekalipun dasar tersebut mempunyai asas yang baik, ia tetap berisiko ditolak.
"Sebagai contoh, pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebelum ini gagal disebabkan kurangnya kepercayaan rakyat terhadap penjelasan yang diberikan oleh kerajaan pada ketika itu," ujarnya.
Sidang Kemuncak Ekonomi Universiti Malaya (UMES) adalah salah satu acara yang dianjurkan setiap tahun di bawah Persatuan Ekonomi Universiti Malaya (PEKUMA), Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya.
Objektif utama bagi sidang kemuncak ini adalah untuk menyerlahkan cara penggubalan dasar yang berkesan boleh merapatkan jurang, menggalakkan inklusif pertumbuhan, dan memastikan peluang yang sama untuk semua rakyat Malaysia.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami