Skip to main content

Malaysia

Malaysia perlu pemahaman yang matang mengenai kenegaraan

KUALA LUMPUR, 3 Jun -- Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang berucap pada majlis pelancaran program "Revolutionising Industry with Graphene" di Kuala Lumpur Convention Centre hari ini.  Inisiatif ini bertujuan memacu transformasi industri tempatan melalui pengadunan teknologi graphene dalam sektor pembuatan dan teknologi tinggi negara.  --fotoBERNAMA (2026) HAKCIPTA TERPELIHARA
Chang berkata Jalur Gemilang wajar dihormati sebagai simbol sejarah, perjuangan dan harapan negara untuk masa depan, namun penguatkuasaannya terlalu berlebihan sehingga kesilapan kecil dihukum secara tidak setimpal dan mengundang kemarahan awam. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia memerlukan pemahaman lebih matang mengenai kenegaraan, yang tidak hanya berkisar pada politik identiti, ketakutan serta paksaan, terutama ketika perbincangan awam semakin dipengaruhi perbezaan pandangan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang berkata Malaysia yang kukuh dan bersatu tidak boleh dibina dengan memaksa rakyat berdiam diri atau menggunakan ketakutan, sebaliknya memastikan setiap rakyat tanpa mengira etnik, agama, latar belakang atau pegangan politik mempunyai kepentingan dalam masa depan negara.

Beliau berkata perkara itu memerlukan institusi yang kukuh, profesional dan tidak memihak, dengan undang-undang dilaksanakan secara adil serta perkhidmatan awam disampaikan tanpa diskriminasi berdasarkan kaum, agama, fahaman politik atau latar belakang sosial.

“Tadbir urus yang baik merupakan perlindungan paling kukuh terhadap perkara yang tidak diingini itu,” katanya dalam artikel bertajuk “This Is My Country, Too!”.

Menggunakan kaum dan agama secara tidak bertanggungjawab untuk meraih sokongan boleh memecah-belahkan masyarakat kepada kelompok yang saling bersaing dan mewujudkan persepsi bahawa sesetengah komuniti menerima lebih daripada yang sewajarnya.

Ahli Parlimen (MP) Tanjong Malim itu berkata prinsip kepimpinan sebagai satu ‘amanah’ yang perlu menjadi panduan kepada mereka yang diberi kuasa politik dan jawatan ini bukan keistimewaan atau senjata untuk digunakan terhadap lawan politik dan komuniti yang mempunyai pandangan berbeza.

Mengenai patriotisme, Chang berkata Jalur Gemilang wajar dihormati sebagai simbol sejarah, perjuangan dan harapan negara untuk masa depan, namun penguatkuasaannya terlalu berlebihan sehingga kesilapan kecil dihukum secara tidak setimpal dan mengundang kemarahan awam. 

Beliau berkata pendekatan sedemikian boleh menghakis patriotisme kerana rakyat mungkin berasa bimbang untuk mengibarkan bendera kebangsaan kerana takut berdepan akibatnya. 

“Negara yang yakin dan matang seharusnya tahu bagaimana untuk bertindak sewajarnya. Jika berlaku kesilapan yang tidak disengajakan, pendidikan dan bimbingan harus didahulukan sebelum hukuman. Ini tidak bermakna membiarkan penghinaan atau tindakan provokasi yang disengajakan. 

“Bagaimana untuk membezakannya? Niat penting, konteks penting, maka hukuman setimpal juga penting,” katanya sambil menambah bahawa peranan agensi kerajaan bukan semata-mata untuk menahan dan menghukum tetapi juga untuk mendidik serta membimbing.

“Sebagai anggota masyarakat, kita tidak seharusnya bertindak keterlaluan atau meluahkan kemarahan terhadap kesilapan yang benar-benar tidak disengajakan.

“Sebaliknya, kita harus menunjukkan empati dan sifat pemaaf. Negara bukan tempat untuk mereka yang sentiasa cuba menghasut kebencian dan memecah-belahkan dalam setiap aspek kehidupan kita,” katanya.

Merujuk kepada titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah pada Persidangan Dunia Kelapan mengenai Pemikiran dan Tamadun Islam, Chang turut berkata perpaduan yang dibina berasaskan rasa kebersamaan lebih berdaya tahan berbanding perpaduan yang lahir daripada paksaan.

Beliau berkata Malaysia perlu menjadi sebuah negara yang kepelbagaian budaya, agama, bahasa dan tradisinya memperkukuh jalinan masyarakat, supaya setiap rakyat berasa mereka mempunyai kepentingan dalam kejayaan Malaysia.

“Ketika kita meraikan satu lagi ulang tahun kemerdekaan, mungkin persoalan paling penting bukanlah sekuat mana kita melaungkan kecintaan kepada negara. Persoalan yang lebih penting, apakah wajah Malaysia yang sedang kita bina untuk generasi akan datang?

“Kita harus menolak kecenderungan untuk memecah-belahkan rakyat demi kepentingan politik yang sempit. Kita harus menentang kecenderungan untuk menggunakan jentera negara secara berlebihan atau dengan pendekatan keras.

“Mereka yang diamanahkan dengan jawatan perlu sedar bahawa kepimpinan ialah satu ‘amanah’ yang perlu dilaksanakan dengan rendah hati, kebijaksanaan dan bertanggungjawab,” kata Chang.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement