Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Malaysia perlu perkasa industri tempatan tangkis salah guna AI - NACSA

Sumber: BERNAMA
Megat Zuhariy berkata, matlamatnya supaya Malaysia tidak bergantung kepada penyelesaian luar apabila berhadapan dengan ancaman yang memerlukan tindak balas pantas. - Foto BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu membangunkan teknologi dan kepakaran kecerdasan buatan (AI) tempatan untuk mengesan serta menangkis penyalahgunaannya.

Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Megat Zuhairy Megat Tajuddin berkata, keupayaan itu penting supaya negara dapat bertindak pantas apabila berdepan ancaman siber.

“Matlamatnya bukan untuk membina keupayaan manipulasi, tetapi untuk memastikan Malaysia mempunyai teknologi dan kepakaran sendiri.

“Ini supaya kita tidak terlalu bergantung kepada penyelesaian luar apabila berhadapan dengan ancaman yang memerlukan tindak balas pantas,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Menurutnya, perlindungan Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII) dan data bernilai tinggi juga perlu diberi perhatian.

Pada masa sama, industri tempatan perlu diperkasa untuk menghasilkan teknologi yang mampu mengesan, menilai dan menangkis penyalahgunaan AI.

Megat Zuhairy berkata, AI kini membolehkan kandungan dihasilkan, banyak akaun diurus dan laman web palsu dibina dengan tahap automasi lebih tinggi.

Justeru, pengesanan awal terhadap domain, akaun dan rangkaian digital yang mencurigakan perlu diperkukuh sebelum sesuatu ancaman menjadi lebih besar.

Megat Zuhairy turut menjelaskan dalam usaha untuk membantu organisasi mengurus risiko berkaitan, NACSA telah membangunkan AI Systems Cyber Security Framework (AISCF) sebagai panduan keselamatan sistem AI.

Beliau turut merujuk Rang Undang-Undang Jenayah Siber 2026 yang telah diluluskan Parlimen bagi memperkukuh aspek pencegahan, pengesanan, penyiasatan dan penguatkuasaan.

Dalam soal membina kepakaran sendiri, Megat Zuhairy berkata, Malaysia sudah mempunyai asas yang boleh terus dikembangkan.

Antaranya, laporan ASEAN Post-Quantum Cryptography Readiness 2026 oleh SITG-Consulting meletakkan Malaysia pada Tier 1 bagi kesiapsiagaan migrasi kriptografi pasca-kuantum.

Kriptografi pasca-kuantum ialah kaedah melindungi maklumat daripada ancaman pengkomputeran kuantum pada masa depan.

Walaupun bidang itu berbeza daripada pengesanan operasi pengaruh AI, beliau mengemukakannya sebagai contoh potensi kepakaran tempatan dalam keselamatan siber.

“Persediaan yang paling penting ialah memastikan Malaysia mempunyai kumpulan bakat dan pakar yang mampu memahami teknologi tersebut, membangunkan penyelesaian sendiri dan bertindak apabila ancaman muncul,” katanya.

Beliau berkata, pakar tempatan perlu diberikan ruang, sokongan dan peluang untuk menyumbang kepada keselamatan siber negara.

Kenyataan itu menyusul laporan Anthropic pada 10 September lalu yang mendakwa sebuah operasi menggunakan AI, rekod pengundi, akaun palsu dan laman berita rekaan untuk menyasarkan pengguna di Malaysia.


 

Must Watch Video

Advertisement