TERIMA kasih kepada Institut ANU Malaysia dan Institut UM Asia-Eropah kerana mengundang saya menyertai panel ini untuk berkongsi perspektif saya mengenai Model Perpaduan Sosial Malaysia. Ini merupakan satu penghargaan istimewa buat saya kerana dapat menyertai panel ini bersama Prof. Terence dan Prof. Johan dan juga Dr. Amrita yang saya maklum telah mengikuti beberapa karya saya dari Australia.
Saya satu-satunya ahli panel bukan akademik. Pandangan saya berdasarkan lebih 30 tahun pengalaman di kerusi barisan hadapan memerhatikan cara kerja antara kerajaan dan sektor swasta. Saya berkerjaya selama 29 tahun bersama CIMB, salah satu bank Syarikat Berkaitan Kerajaan (“GLC”) terbesar, serta berkhidmat selama 12 tahun di panel Pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan 4 tahun dengan
lembaga pengarah Khazanah. Pada tahun 2019, saya menjadi Felo Pelawat di Blatvanik School of Government, Universiti Oxford, di mana saya memberi tumpuan kepada Penentukuran Semula Bangsa (“National Recalibration”), meneliti prasyarat pembaharuan sistemik. Itu merupakan satu masa yang tepat bagi saya merenungkan apa yang telah saya perhati dan pelajari mengenai politik, ekonomi dan perniagaan di Malaysia.
Baru-baru ini, ketika kita melangkah ke tahun baharu, perasaan sedih dapat dirasai kerana kita telahpun melepasi tahun 2020. Saya masih ingat dengan begitu jelas sekali semasa Mahathir melancarkan Wawasan 2020 pada tahun 1991 dan perasaan berani yang dipicu semasa ekonomi kita berkembang pada kadar 8 hingga 10 peratus, dan kita cuma memerlukan 7 peratus sahaja untuk mencapai Keluaran Dalam Negara Kasar perKapita (KDNKK) negara maju menjelang 2020. Wawasan 2020 bukan sahaja mengenai ekonomi, malah ianya membayangkan negara Malaysia yang bersatu – satu bangsa Malaysia. Malangnya, kita gagal mencapai kedua-duanya, dan lebih sedih lagi, politik kita tidak lagi berfungsi sehingga sukar untuk kita gambarkan apa yang perlu dilakukan untuk memulihkan keadaan.
Lantas ke titik utama saya: Saya berpendapat bahawa Malaysia memerlukan satu tetapan semula sistem (“system reset”) atau Penentukuran Semula Negara (“Nationhood Recalibration”). Saya tidak fikir kita boleh mengendalikan perpaduan sosial dengan sendirinya, kerana ia terlalu berkait dengan politik dan ekonomi kita.
Malah, idea pembaharuan yang paling mudah pun begitu pantas diperkaumkan dan ada kalanya diterjemahkan dalam istilah agama dan ekonomi. Ini kemudiannya menjadi satu cabaran politik, dan sudah terlalu lama semenjak mana-mana pemimpin mempunyai modal politik yang cukup untuk membuat gerakan substantif dalam perkara-perkara sensitif. Oleh itu, daripada menumpukan perhatian kepada undang-undang keharmonian dan sepertinya, saya berpendapat kita perlu kembali ke meja rundingan untuk mendebat serta merunding dan menetapkan semula cara demokrasi berfungsi – bagaimana kita memilih pemimpin kita dan bagaimana institusi-institusi kita berfungsi – dan kontrak sosial yang membentuk sikap kita terhadap kebanyakan perkara.
Sejarah telah menunjukkan bahawa pemimpin kita, termasuk mereka yang mempunyai niat terbaik, terpesong kerana raksasa berkepala tiga: politik wang, politik identiti dan penumpuan kuasa. Raksasa tersebut memusnahkan niat, perubahan dan rancangan terbaik – di antaranya Wawasan 2020, Koridor Raya Multimedia (“MSC”), Islam Hadhari, Model Ekonomi Baharu (“NEM”), dan 1Malaysia. Bagi menggambarkan mengapa saya berkata begitu, saya akan merenungkan secara ringkas sistem tersebut dari kaca mata saya.
Malaysia mewarisi sistem Westminster semata-mata kerana kita merupakan satu tanah jajahan. Kesesuaiannya dengan keadaan kita sendiri tidak banyak diperdebatkan; khususnya masyarakat majmuk, tahap perkembangan serta sejarah dan budaya kita. Sistem tersebut gagal pada rintangan sebenar pertama semasa Pilihan Raya Umum Ke-3 kita pada tahun 1969. Ketika itu, kita melalui Perintah Darurat sekitar 21 bulan di mana sistem tersebut telah dikalibrasikan semula dengan pengenalan Rukun Negara (“National Principles”), undang-undang hasutan bertujuan membanteras kebangkitan isu sensitif atau keradangan di khalayak ramai, Dasar Ekonomi Baharu (“New Economic Policy”) untuk membasmi kemiskinan dan mengimbangi kekayaan antara kaum serta sebuah kerajaan gabungan besar atau Barisan Nasional.
Walau bagaimanapun, pengarang sistem 1970 itu mengakui bahawa mereka berinovasi kerana keadaan terdesak – mereka saling memerangi sesama sendiri – dan sistem tersebut perlu dikaji dari semasa ke semasa. Namun, selepas 50 tahun, ianya masih kekal secara meluas. Bahkan, jangka waktu DEB ditetapkan selama 20 tahun.
Walaupun DEB pada asalnya bertujuan memobilisasikan sektor awam untuk mempercepatkan pertumbuhan dan memudahkan pengagihan semula, pada awal tahun 1980-an, pengenalan dasar “Malaysia Inc.” menyaksikan pergeseran penekanan kepada sektor swasta yang diperkukuhkan menerusi dasar penswastaan. Ironinya, “Malaysia Inc.” sebenarnya meningkatkan pengaruh kerajaan dalam ekonomi dengan keputusan penjualan harta kerajaan dan kerjasama awam-swasta menambahkan lagi syarikat, pelesenan, pengawalseliaan dan perolehan kerajaan. DEB kemudiannya digunakan untuk membolehkan keputusan di buat tanpa ketelusan, dari penswastaan hinggalah kontrak kerajaan dan pengenalpastian peniaga yang menerima sokongan kerajaan dan bank negara. Secara jelasnya, bukan sahaja peniaga Bumiputera dibina
sebegitu cara, namun kerajaan juga membantu peniaga bukan-Bumiputera.
Sistem ini dibiarkan berfungsi tanpa ketelusan supaya kepentingan politik dapat diberikan keutamaan. Pada pertengahan tahun 1980-an, pertandingan untuk jawatan parti UMNO kelihatan sengit dan calon-calon boleh menggunakan wang atau kontrak untuk mendapatkan sokongan tanpa halangan yang nyata. Saya melihat dengan mata saya sendiri arahan pinjaman bank kepada peniaga dibuat tanpa memahami apa yang
mereka usahakan.
Selain itu, saya telah memerhatikan ahli perniagaan yang mampu mencipta kejayaan dengan sendirinya. Walaubagaimanapun, setelah berjaya berkembang dan mencapai tahap keunggulan yang tinggi, raksasa akan datang mencari dan muncul, dan jika mereka tidak memberi makan, ianya akan membaham anda – kontrak disekat, lesen tidak diperbaharui dan undangan tender tidak lagi diterima.
Barah politik wang mengambil dimensi baharu apabila sokongan pilihan raya BN dan UMNO mula berkurangan pada penghujung tahun 2000-an. Jumlah wang yang banyak telah dimobilisasikan untuk menyokong kempen nasional untuk parti itu sendiri. Ini merupakan titik permulaan bencana 1MDB.
1MDB mengambil masa yang panjang dan menular sebegitu jauh. Ianya menunjukkan penumpuan kuasa di Pejabat Perdana Menteri semenjak pertengahan tahun 1990-an lagi, apabila kuasa perundangan, perkhidmatan awam dan Raja-Raja dikurangkan secara sistematik untuk memberi laluan kepada sistem “Doktor maha mengetahui” (“The Doctor knows best”). Malah, Tan Sri Sheriff Kassim, mantan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, masih ingat lagi seruan Tun Dr. Mahathir kepada penjawat awam pada masa itu bahawa “Malaysia tidak mampu menikmati kemewahan sistem demokrasi dan prosedur birokrasi penjawat awam yang memakan masa terlalu panjang.”
Walaupun ianya membolehkan kita bergerak dengan pantas, namun sistem yang sangat berpusat pada umumnya menghasilkan keputusan yang kurang mantap. Keputusan jarang dibuat berdasarkan analisis, perbahasan dan merit. Jika anda rapat dengan PM, maka jalan akan terbuka kepada anda. Saya berpendapat bahawa semua ini secara langsungnya menyebabkan syarikat dan konglomerat berkembang kerana akses politik dan bukannya berdasarkan kecekapan perniagaan. Kebanyakannya jatuh ke bumi nyata semasa Krisis Kewangan Asia. Kebanyakan perniagaan tersebut kemudiannya dinasionalisasi menjadi “GLC,” dan ini bermaksud bahawa kehadiran mereka dalam hubungan politik dan perniagaan tidak berubah. Pengambilan keputusan muktamad masih berada di tangan Presiden UMNO dan PM, serta warganya. Seperti di mana-mana gelanggang, personaliti ala Rasputin wujud untuk memberi nasihat dan mengendali skim yang menguntungkan diri sendiri: Di antara mereka, Jho Low adalah satu nama yang paling dikenali ramai. Secara kebetulan, saya berpendapat bahawa kerajaan PH juga telah dirosakkan oleh personaliti ala Rasputin tetapi itu adalah kisah untuk hari yang lain.
Apabila PH mengambil alih kuasa pada tahun 2018, berdasarkan manifesto parti tersebut, saya – seperti kebanyakan rakyat Malaysia yang lain – begitu optimis bahawa kita berada di landasan menuju perubahan besar. Malangnya, mereka gagal dalam usaha reformasi serta tidak dapat kekal berkuasa, dan ini mengesahkan bagaimana sistem ini berada dalam kesesakan log. Sepanjang pemerintahan mereka, PH terpaksa bersaing untuk mengatasi tentangan berbaur kaum-agama dari pakatan UMNO-PAS. Akibatnya, PH gagal melakukan pembaharuan yang agak mudah seperti menandatangani ICERD atau menyokong UEC. DAP pula terpaksa bertungkus lumus mempertahankan pangkalan sokongannya kerana dalam gabungan, ia harus menyederhanakan kedudukannya mengenai masalah perkauman.
Menyingkirkan pandangan rakyat Malaysia tentang identiti sebagai pemacu utama kesetiaan politik akan memakan masa bertahun-tahun lamanya, jika tidak seumur hidup. Para saintis politik memahami bagaimana pandangan tersebut terus melemahkan intipati cara demokrasi sepatutnya digerakkan demi kepentingan
nasional. Walaupun kita dapat didorong oleh kebangkitan berbagai parti berbilang kaum, apa yang lebih mendesak adakah peralihan dari sistem pilihan raya semasa yang memberi insentif berlandaskan perkauman dan agama. Kita perlu beralih dari sistem pilihan raya Majoriti Mudah dan menyebelahi kawasan luar bandar kepada sistem yang lebih berkadar atau sekurang-kurang sistem yang berkelebihan dari segi kawasan
pilihan raya campuran. Namun, perubahan seperti itu tidak mungkin berlaku dengan sendirinya. Ini pasti dianggap sebagai satu serangan terhadap kedudukan kaum Melayu. Ia perlu menjadi sebahagian daripada perjanjian baharu yang holistik.
Secara ringkasnya, sistem Malaysia ibarat lakonan yang ditulis dengan teruk. Tidak kira berapa baik barisan pelakon yang dipilih, namun lakonannya akan tetap buruk. Kita perlu menukar skrip itu sendiri.
Menerusi kerjasama dengan beberapa ahli akademik dan masyarakat sivil, saya telah memulakan kajian selama 6 bulan untuk mengumpulkan pandangan rakyat Malaysia di pelbagai spektrum masyarakat secara langsung dan digital di mybetterfuture.org. Tujuan kami adalah untuk memerihalkan bagaimana rupa Malaysia yang lebih baik dan meyakinkan orangramai bahawa ada sistem yang lebih baik dan kita perlu melalui
proses penyusunan semula sistem yang memedihkan.
Malaysia bernasib baik kerana telah melalui proses seperti itu pada tahun 1970-an. Kita telah menubuhkan Majlis Perundingan Negara (“NCC”), yang terdiri daripada 67 wakil keratan rentas masyarakat dari ahli politik hingga ahli perniagaan hingga kesatuan sekerja hinggalah kumpulan agama dan sebagainya. Dalam keselamatan platform musyawarah, mereka memperdebatkan apa yang perlu dilakukan untuk membawa
negara kembali dari jurang perkauman; yang membawa kepada pembaharuan yang
saya sebutkan tadi.
Secara kebetulan, kita berkumpul pada hari ini ketika negara sekali lagi berada dalam keadaan darurat, dengan parlimen dan demokrasi digantung. Sama ada langkah ini diperlukan atau tidak, disfungsi politik telah mencapai tahap rendah baharu dengan kerajaan di ambang kejatuhan pada saat jalan keluar konvensional PRU menjadi pilihan yang memudaratkan. Sama ada langkah itu diperlukan atau tidak, ini adalah masa yang
tepat untuk menetapkan semula sistem.
Menariknya, platform musyawarah sebagai alternatif kepada parlimen wakil rakyat kian mendapat momentum di seluruh dunia. Kita boleh memikirkan Amerika dalam satu ruangan (“America in one room”) oleh James Fishkin, model Ostelbelgian dari Belgium dan tentu saja Perhimpunan Warganegara Ireland (“Irish Citizen’s Assembliy) yang membahaskan isu menghalalkan pengguguran yang amat kontroversial. Jelas bagi saya
bahawa ada ruang untuk menginovasi struktur demokratik asas yang telah menjadi kebiasaan, di mana kita memilih satu orang untuk mewakili kita dalam setiap isu selama 4 hingga 5 tahun. Kita mendapati bahawa selalunya mereka tidak mewakili suara kita tetapi sebaliknya menurut arahan kepimpinan parti dan sentiasa mengambil kira jadual pilihan raya akan datang. Bagaimana ia boleh menjadi platform yang baik untuk
membincangkan isu-isu struktur jangka panjang, merundingkan kesepakatan baharu mengenai skala dan kerumitan yang kini Malaysia perlukan?
Apakah asas utama Malaysia yang Lebih Baik? Walaupun ada risiko pendedahan hasil kajian terlalu awal, saya ingin mencadangkan:
a. Pengaturan institusi baharu mempunyai pengadil berkesan untuk persaingan
politik
b. Pemisahan perniagaan, kerajaan dan politik yang jelas
c. Pembaharuan pilihan raya
d. Kontrak sosial baharu antara masyarakat dan antara pemerintah dan yang
diperintah
e. Kejelasan peranan Islam dan negara
f. Integrasi komunal merangkumi penentuan dan perundangan menentang rasisme
dan prasangka
Matlamat segera projek kami hanyalah untuk mendapatkan sokongan untuk penubuhan platform musyawarah lain seperti “NCC”. NCC versi kedua perlu berdebat dan memutuskan banyak prinsip dan pembaharuan kritikal yang bakal menentukan apa sebenarnya Malaysia Baharu.
Sebagai kesimpulan: Kita harus benar-benar jujur dan mengakui bahawa sistem ini tidak lagi berfungsi. Melainkan kita mengambil langkah berani untuk merombaknya, saya khuatir bahawa kita akan terus terbelenggu dalam keadaan pertumbuhan ekonomi hambar, politik yang tidak berfungsi dan masyarakat yang berpecah belah ini. Keadaan bangsa menuntut agar kita berusaha ke arah ketidakterusan dan ketetapan semula. Sekiranya kebijaksanaan konvensional mengatakan bahawa ketetapan semula nasional
memerlukan satu krisis seperti Krisis Kewangan Asia di Indonesia atau tamatnya apartheid di Afrika Selatan, Malaysia sudahpun berada dalam krisis Covid dan keadaan darurat.
* Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI
Datuk Seri Nazir Razak
Mon Feb 01 2021
NAZIR: Saya tidak fikir kita boleh mengendalikan perpaduan sosial dengan sendirinya, kerana ia terlalu berkait dengan politik dan ekonomi kita. - Gambar fail
Anda kelak boleh seru Google Gemini dengan memanggil 'Hey, Gemini'
Gemini iaitu chatbot AI Google yang secara perlahan akan menjadi pembantu maya/digital baharu menggantikan Google Assistant.
Banjir kilat: SK Nanga Budu ditutup selepas air naik ke paras dada
Kawasan yang terlibat adalah bangunan dewan sekolah serta bangunan bagi prasekolah.
Final Jelajah Dunia BWF: Lee Zii Jia siap sedia hadapi cabaran sebenar bertemu tuan rumah
"Semua pemain di sini adalah pilihan terbaik tatkala mahu merangkul kejuaraan. Saya berpuas hati dengan tahap prestasi saya setakat ini." - Zii Jia
Ringgit dibuka tidak berubah berbanding dolar AS
Ringgit dibuka tidak berubah berbanding dolar AS dalam dagangan awal hari ini walaupun walaupun indeks dolar AS (DXY) lebih tinggi.
AWANI Pagi: Satira dan Parodi: Batas kebebasan di bawah RUU 588
Diskusi 8.30 pagi Jumaat Isnin bersama Profesor Datuk Dr. Azizul Halim Yahya,Profesor Komunikasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA, UiTM membincangkan mengenai batas dan had kebebasan di bawah RUU 588 berhubung isu satira dan parodi yang kontroversi baru-baru ini.
Buaya di Teluk Batik: Perhilitan nasihat orang awam berwaspada
Perhilitan Perak terus memantau persekitaran Pantai Teluk Batik susulan penampakan kehadiran seekor buaya di kawasan itu semalam.
Polis tembak mati lelaki miliki 24 kes rekod jenayah di Jeram Pasu
Suspek berusia 31 tahun merupakan warga tempatan maut dalam kejadian sekitar jam 5.30 pagi tadi.
NAIO disaran bentuk konsortium perkasa tenaga kerja AI tempatan
Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) perlu membentuk satu konsortium antara institut pengajian tinggi (IPT), industri teknologi dan kerajaan dalam memperkasa tenaga kerja tempatan dalam AI.
Sejauh mana gelombang pergolakan pasaran akan berlaku?
Bersama Ketua MIDF Research, Imran Yassin Md Yusof berkongsian penilaian terhadap prospek ekonomi negara di tengah-tengah cabaran global dan domestik.
Misteri 'fenomena UFO' undang resah
Rangkaian media melaporkan insiden itu turut mencetuskan pelbagai spekulasi dan teori konspirasi di platform media sosial.
Ikhlas Capital milik Nazir Razak melabur sehingga RM188.5 juta dalam Food Empire Singapura
Menurut theedgesingapore.com, pelaburan itu dibuat melalui syarikat tujuan khas di bawah firma pelaburan Ikhlas Capital Singapura.
'Takdir mempertemukan kami semula..." - Nazir dedah kisah pertemuan dengan Yati
Tan Sri Mohamed Nazir dilaporkan telah sah menjadi suami kepada pilihan hatinya, Yati Zainuddin semalam.
Nazir Razak selamat bernikah dengan Yati Zainuddin
Adik kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Nazir mencuri perhatian netizen selepas tular sekeping gambar yang memperlihatkan beliau mengenakan busana pengantin serba putih.
Tun Musa Hitam selesai jalani pembedahan otak selepas jatuh ketika berkebun
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam selesai menjalani pembedahan pada otak selepas jatuh semasa berkebun pada minggu lepas.
Nazir Razak akhiri perkhidmatan sebagai Pengerusi BPMB
Nazir Razak bersara sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif BPMB berkuat kuasa 22 April ini selepas tamat tempoh dua tahun perkhidmatan.
Nazir Razak dilantik Pengerusi ASEAN-BAC, Tony Fernandes, Lim Chern Yuan sebagai Ahli Majlis
Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) Malaysia mengumumkan pelantikan Tan Sri Nazir Razak, pengerusi dan pengasas bersama Ikhlas Capital, sebagai pengerusinya bagi tempoh 2023-2026.
Nazir bimbang Najib ditipu Jho Low, pengurusan 1MDB - Saksi
Mohamed Nazir Razak pernah menyuarakan kebimbangan bahawa abang sulungnya, Najib, telah ditipu oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low.
Lepas tonton One Cent Thief, baru tahu maksud 'Out of Service' di mesin ATM
Siri Astro Originals ini juga turut menampilkan kemunculan istimewa Tan Sri Nazir Razak.
MAPEN 2.0 mungkin mampu elak Malaysia jadi negara gagal
Cadangan Pengerusi Bukan Eksekutif Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB), Tan Sri Nazir Razak agar Majlis Perundingan Negara (MAPEN) 2.0 di bawah Majlis Raja-raja diwujudkan dilihat wajar dipertimbang.
Cadangan tiru Hong Kong banteras rasuah tidak sesuai - TI-M
Katanya, undang-undang antirasuah kita sudah baik, cuma perlu diperketatkan penguatkuasaannya sahaja.