PUTRAJAYA: Kementerian Luar sedang meneliti cadangan membuka semula Kedutaan Besar Malaysia di beberapa negara yang sebelum ini bergolak.

Menurut Menterinya, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, satu pasukan telah diwujudkan bagi meneliti semua aspek keperluan pembukaan semula kedutaan itu.

"Terima kasih kerajaan kerana telah meluluskan tambahan peruntukan kepada kementerian kita walaupun kita melihat peruntukan itu untuk meneruskan beberapa projek kedutaan di luar.

"Kita melihat bahawa kita perlu membuka semula kedutaan yang pernah kita buka sebelum ini.

"Contohnya di Iraq, Libya, Syria termasuk beberapa tempat yang mempunyai potensi ekonomi dalam membuka ruang untuk Malaysia ceburi dalam rantau berkenaan, khususnya dalam aktiviti ekonomi," jelasnya pada sidang media di Wisma Putra, di sini hari ini.

Mengulas lanjut ujar Zambry, kementeriannya sebelum ini mendapat undangan daripada beberapa negara yang mahu Malaysia membuka semula kedutaan di negara terbabit.

Bagaimanapun ujarnya, ia tertakluk kepada hasil penelitian yang dibuat pasukan khas berkenaan serta keputusan dasar kerajaan.