PUTRAJAYA: Sambutan Hari Kebangsaan 2021 berlangsung jam 8 pagi di Dataran Pahlawan Negara di Putrajaya.

Bertema "Malaysia Prihatin", sambutan Hari Kebangsaan tahun ini diadakan mengikut saranan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) yang berkonsep secara terbuka, terkawal dan berskala kecil, serta pembabitan fizikal yang terhad tanpa membabitkan kehadiran orang awam di lokasi.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyertai sambutan ini secara maya, susulan daripada menjalani kuarantin kendiri bermula Isnin selepas disahkan menjadi kontak rapat kepada pesakit COVID-19.

Antara acara persembahan yang berlangsung sempena Hari Kebangsaan 2021 adalah persembahan 'drumline' oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kawad Senyap oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), pancaragam gabungan anggota uniform dan persembahan udara oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Durasi masa acara pada tahun ini berlangsung di lokasi dengan masa yang singkat iaitu hanya 50 minit.

Menggabungkan elemen teknologi terkini, sambutan kali ini berkonsepkan 'mixed reality' iaitu gabungan penerbitan secara fizikal, teknologi AR (augmented reality) dan juga XR (extended reality) berbentuk interaktif dan berteknologi tinggi.

Seramai 235 pegawai dan anggota polis ditugaskan hari ini untuk memastikan sambutan tahun ini di Putrajaya berjalan lancar dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Orang awam khususnya penduduk Putrajaya hendaklah mematuhi semua peraturan dan SOP serta tidak berkumpul dalam kapasiti yang besar selain memastikan penjarakan sosial dijaga sebaiknya.

Orang ramai boleh menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan 2021 yang bermula jam 8 pagi secara siaran langsung di saluran 501 atau di platform digital Astro AWANI.