KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching menzahirkan ucapan takziah atas pemergian Editor Kanan akhbar berbahasa Tamil Makkal Osai, Dr Rajan Boopalan, 68, yang disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada industri media Tamil negara.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, beliau berkata, berita pemergian mendiang pada pagi ini amat mengejutkan, terutama selepas beliau menziarahi Rajan di Hospital Selayang pada awal bulan ini.
“Sukar untuk saya menerima berita ini, lebih-lebih lagi apabila masih segar dalam ingatan kunjungan saya ke Hospital Selayang pada awal bulan ini untuk menziarahi mendiang serta menyampaikan sumbangan melalui inisiatif Tabung Kasih@HAWANA x TM.
“Ketika itu, tidak terlintas di fikiran bahawa kunjungan berkenaan akan menjadi antara kenangan terakhir bersama beliau,” katanya.
Teo berkata, sumbangan dan dedikasi Rajan sepanjang 45 tahun berkecimpung dalam bidang kewartawanan meninggalkan kesan besar kepada industri media Tamil tanah air.
Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang, sahabat handai serta rakan media yang mengenali beliau.
“Semoga keluarga mendiang diberikan kekuatan, ketabahan dan ketenangan dalam menghadapi saat yang amat sukar ini,” katanya.
Rajan dilaporkan tidak sedarkan diri di kediamannya sebelum pemeriksaan lanjut mendapati salur darah di kepalanya pecah.
Beliau kemudian menjalani prosedur pembedahan bagi mengeluarkan darah beku dan menerima rawatan susulan di hospital.
Mendiang dilaporkan meninggal dunia pada 4 pagi tadi di Hospital Selayang.
-- BERNAMA