MALAYSIA
Malaysia sasar pelaburan teknologi hijau, teknologi mendalam berimpak tinggi

Chang Lih Kang berkata, Malaysia sedang meneroka pelaburan berimpak tinggi dalam bidang berkaitan kemampanan dan transformasi digital, suatu keutamaan di bawah agenda pembangunan hijau kerajaan MADANI. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Malaysia sedang meneroka pelaburan berimpak tinggi dalam bidang berkaitan kemampanan dan transformasi digital, suatu keutamaan di bawah agenda pembangunan hijau kerajaan MADANI.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, ini kerana inovasi dalam pengurusan karbon, tenaga hidrogen, bahan hijau dan model ekonomi sirkular sedang giat dipertingkatkan untuk mempercepat peralihan karbon rendah negara.
"Secara selari, Malaysia sedang mengukuhkan kedudukannya sebagai hab serantau untuk bahan termaju, terutamanya unsur nadir bumi (REE), yang penting kepada teknologi hijau, kenderaan elektrik dan industri digital," katanya pada Forum Ekonomi Kebangsaan 2025, di sini, pada Khamis.
Chang berkata, kerajaan juga sedang berusaha untuk mengukuhkan keupayaan tempatan merentasi keseluruhan rantaian nilai, daripada pengekstrakan mampan kepada aplikasi berteknologi tinggi hiliran, menerusi pelan hala tuju strategik seperti Pelan Hala Tuju Teknologi Bahan Termaju Negara."Untuk memanfaatkan momentum ini, usaha sedang dijalankan untuk mengurangkan risiko pelaburan teknologi mendalam menerusi geran sepadan, model pelaburan bersama dan platform awam-swasta kolaboratif yang memupuk inovasi dan pertumbuhan jangka panjang," katanya.
Mengenai Dasar Bioteknologi Negara (DBN 2.0), Chang berkata, Malaysia komited untuk memajukan bidang itu secara selamat dan bertanggungjawab dengan mengukuhkan kesediaan institusi dan rangka kerja kawal selia, termasuk isu etika seperti pengeluaran daging kultur yang ditangani menerusi Garis Panduan Etika Bioteknologi Negara yang bakal dilancarkan September ini.
"Di bawah DBN 2.0, sektor ini memacu pertumbuhan dalam biofarmaseutikal, bioteknologi industri dan pertanian, dengan cita-cita untuk meletakkan Malaysia sebagai hab berasaskan bio serantau, sejajar dengan matlamat kemampanan dan ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus).
"Kita juga meneroka bidang baharu muncul seperti biologi sintetik dan penapaian ketepatan untuk mencipta produk bernilai tinggi dan meningkatkan daya saing global dalam bioekonomi," katanya.
NEF 2025 bertemakan "Turning Strategy into Reality: Institutional Delivery, Economic Resilience and Investor Confidence" bertujuan untuk menjadi platform bagi dialog dan penyelesaian bersama bagi menangani perubahan cabaran dihadapi Malaysia dalam situasi penjajaran semula ekonomi global, gangguan teknologi dan pertumbuhan mampan.
Forum itu memberi tumpuan kepada meletakkan Malaysia secara strategik untuk fasa pertumbuhan seterusnya dengan memupuk ekosistem ekonomi yang berfikiran ke hadapan, dipacu oleh pelaburan, inovasi dan keterangkuman.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami