MANILA: Malaysia mengalu-alukan momentum positif dalam hubungan ekonomi dua halanya dengan Filipina, dengan nilai perdagangan dua hala mencecah AS$8.22 bilion (RM35.21 bilion) pada 2025.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata prestasi perdagangan yang kukuh itu merupakan petanda positif dan berharap perdagangan dua hala dapat mencapai AS$10 bilion menjelang 2029.
“Terdapat potensi besar untuk kedua-dua negara mengukuhkan lagi hubungan ekonomi mereka, terutamanya dengan memperdalam kerjasama yang berkaitan ekonomi digital.
“Kita juga berbincang mengenai bidang baharu yang sedang pesat membangun seperti peralihan tenaga,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan bersama Mesyuarat Suruhanjaya Bersama (JCM) Filipina-Malaysia Kesembilan dengan Setiausaha Luar Filipina Ma. Theresa P. Lazaro di Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina di sini hari ini.
Filipina berada di tempat ke-17 sebagai rakan dagang terbesar Malaysia di peringkat global dan kelima dalam kalangan negara ASEAN pada tahun lepas dengan nilai perdagangan sebanyak RM35.21 bilion. Malaysia pula merupakan rakan dagang kesembilan terbesar Filipina di peringkat global dan keempat terbesar dalam ASEAN.
Perdagangan dua hala dari Januari hingga Mei 2026 meningkat 9.5 peratus kepada RM16.71 bilion (AS$4.21 bilion) daripada RM15.26 bilion (AS$3.46 bilion) pada tempoh yang sama tahun lepas.
Sementara itu, bercakap kepada Bernama selepas JCM, Mohamad yakin sasaran AS$10 bilion dapat dicapai susulan prospek ekonomi yang kukuh di negara itu khususnya di wilayah Mindanao, serta meningkatnya perdagangan intra-ASEAN.
“Matlamat utama ASEAN untuk melihat dagangan antara negara-negara ASEAN diberikan keutamaan, ditambah nilai kerana perdagangan intra-ASEAN ini masih lagi rendah. Kita tidak mahu terlampau bergantung kepada pasaran luar.
“Jadi tidak mustahil untuk kita dapat menambah jumlah dagangan antara kedua-dua negara, begitu juga dengan pelaburan. Banyak peluang pelaburan terutamanya di kawasan selatan iaitu Wilayah Autonomi Bangsamoro di Mindanao Muslim (BARMM),” kata beliau.
Mohamad berkata banyak syarikat Malaysia, termasuk Maybank telah lama bertapak di rantau itu, manakala Kerajaan Filipina juga mengalu-alukan pelabur Malaysia untuk memperluas pelaburan mereka dan meneroka peluang-peluang baharu.
Beliau berkata Malaysia dan Filipina turut berbincang kaedah dan pendekatan untuk Kerajaan Filipina memudahkan pelabur Malaysia yang ingin melabur di BARMM.
Wilayah itu kata beliau, menawarkan potensi pelaburan yang baik untuk syarikat Malaysia, terutamanya syarikat perladangan multinasional berikutan populasinya yang ramai dan tanah yang subur.
“Tanah di sana subuh dan ia boleh menjadi sebagai satu kawasan baharu untuk syarikat-syarikat perladangan dari Malaysia melabur dan membuka kawasan perladangan baharu,” tambah beliau.
Mohamad berkata Malaysia dan Filipina yang merupakan jiran rapat dan rakan kongsi ASEAN, berupaya memainkan peranan penting dalam memastikan blok serantau itu kekal bersatu, berdaya tahan, berdaya saing dan relevan.
“Kerjasama ini harus terus diterjemahkan kepada manfaat ketara untuk perniagaan, komuniti dan rakyat kedua-dua negara,” tambahnya.
-- BERNAMA