Kerajaan optimis pertumbuhan ekonomi negara akan mencecah angka 4.8 peratus menjelang 2020.

Angka berkenaan dijangka dicapai ekoran asas makroekonomi Malaysia yang kukuh termasuk struktur ekonomi dan eksport yang menyokong pasaran buruh, inflasi yang rendah dan stabil serta sektor kewangan dan lebihan akaun semasa yang lebih sihat mengenai imbangan pembayaran.

Menurut Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, pencapaian itu sekali gus merekodkan peningkatan yang lebih tinggi daripada jangkaan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dengan catatan 4.4 peratus manakala bank Dunia pula pada tahap 4.5 peratus.

“Menjelang tahun 2020 yang berbaki kurang seminggu, sebanyak RM56 bilion telah diperuntukkan untuk 5,466 projek pembangunan untuk menyokong momentum pertumbuhan sekali gus mengukuhkan kapasiti ekonomi jangka panjang negara.
projek pembangunan untuk menyokong momentum pertumbuhan sekali gus mengukuhkan kapasiti ekonomi jangka panjang negara

“Daripada jumlah itu, RM53.2 bilion diperuntukkan untuk 4,744 projek yang sedang berjalan dan baki RM2.8 bilion telah diketepikan untuk 722 projek baharu.

“Kerajaan juga akan memberi penekanan dalam menstruktur pembangunan ekonomi dengan membangunkan kawasan-kawasan ekonomi baharu dalam usaha menggerakkan ekonomi negara ke hadapan,” katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.

Menurut Mohamed Azmin, kerajaan juga menyasarkan untuk mewujudkan peluang-peluang perniagaan dan pekerjaan bergaji tinggi sejajar dengan tujuan Perkongsian 2030 Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Untuk mencapai sasaran itu, kerajaan memerlukan pembangunan sosioekonomi yang inklusif, mampan dan bermakna untuk menyediakan taraf hidup yang layak untuk semua rakyat Malaysia.

Itu akan dilaksanakan melalui Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12), 2021-2025 dan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) dan 2026-2030.

“Langkah berjaga-jaga akan diambil, namun akan terus menumpukan pada pengukuhan daya tahan jangka pendek Malaysia dan memajukan pembaharuan struktur untuk menaikkan pertumbuhan jangka sederhana.

“Oleh itu, potensi pertumbuhan negara akan dioptimumkan dengan mengukuhkan produktiviti dan inovasi sebagai pemangkin pertumbuhan.

“Penekanan diberikan kepada memperkasakan sektor perkilangan untuk menghasilkan lebih banyak produk berkualiti tinggi,” kata beliau lagi.

Tambah Mohamed Azmin, fokus juga akan diberikan untuk mengukuhkan sektor dengan potensi pertumbuhan tinggi seperti aeroangkasa, peralatan perubatan, elektrikal dan elektronik (E&E), jentera dan peralatan serta bahan kimia dan produk kimia.

Keutamaan juga akan diberikan kepada pembangunan dan pemodenan industri berasaskan sumber melalui inisiatif penyelidikan, pembangunan, pengkomersilan dan inovasi.