JINJU: Malaysia sedia menjalin kerjasama dengan negara lain yang sudi berkongsi teknologi dan menghulurkan bantuan dalam aspek pembangunan industri pertahanannya.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata dalam merealisasikan perkara ini tidak bermakna Malaysia perlu menjadi pengeluar aset pertahanan seperti negara membangun lain sebaliknya memfokus kepada langkah menawarkan pelbagai platform perkhidmatan dalam industri pertahanan.

Beliau berkata Malaysia mampu meletakkan dirinya sebagai pengeluar komponen, menyediakan perkhidmatan pengawasan dan penyelenggaraan untuk semua aset ketenteraan sekali gus memperkukuh keupayaan negara dalam penyediaan perkhidmatan.

"Sebagai contoh, kita boleh menawarkan perkhidmatan penyelenggaraan serta pembaikan untuk sebarang jenis pesawat di seluruh dunia dan ini adalah jenis perkhidmatan yang kita boleh sediakan.

"Jadi, apabila kita bercakap tentang membangunkan industri pertahanan tempatan, ia tidak bermaksud Malaysia akan mula menghasilkan helikopter atau kapal terbang secara serta-merta kerana ini mengambil masa yang agak lama," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Korea Aerospace Industries (KAI) di sini semalam.

Mohamed Khaled juga berkata negara yang maju dalam industri pertahanan terutama dalam aeroangkasa mengambil masa yang agak lama sebelum mula menghasilkan aset pertahanan sendiri seperti pesawat pejuang.

"Turkiye contohnya, mengambil masa sehingga 50 tahun bagi menghasilkan aset pertahanan manakala Korea Selatan mengambil masa lebih 20 hingga 30 tahun untuk menjadi pengeluar pelbagai aset pertahanan.

"Oleh itu, tumpuan kerajaan ketika ini adalah lebih kepada menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih serta pembuatan komponen selain penumpuan terhadap teknologi dan aset pertahanan," katanya.

Beliau berkata di Korea Selatan, teknologi kecerdasan buatan digunakan secara meluas bagi memantau dan melindungi sempadan serta mengesan pergerakan yang mencurigakan dari negara yang tidak memiliki hubungan baik dengannya.

Mohamed Khaled turut melakukan kunjungan hormat ke atas Menteri Perolehan Program Pertahanan Korea Selatan Seol Yong Gun di luar Dialog Pertahanan Seoul 2024 bagi memperkukuh hubungan sedia ada antara Malaysia dan Korea Selatan.

-- BERNAMA